MFL mohon MKN izin penonton lengkap 2 dos masuk stadium
Liga Bola Sepak Malaysia (MFL) sekali lagi akan memohon kebenaran untuk penyokong menyaksikan perlawanan Liga Malaysia (Liga-M) di stadium sebagai usaha merancakkan kembali saingan liga berkenaan.
Presiden MFL Ab Ghani Hassan berkata badan pentadbir Liga-M itu menyediakan kertas kerja yang ditambah baik berserta beberapa syarat baru untuk diserahkan kepada Majlis Keselamatan Negara (MKN).
Katanya antara syarat baru itu adalah kemasukan ke stadium hanya dibenarkan kepada individu yang telah melengkapkan dua dos suntikan vaksin Covid-19.
“Susulan kelonggaran (yang telah diberikan) kepada individu (lengkap dua dos), ia juga harus dipertimbangkan oleh MKN untuk benarkan penyokong (lengkap dua dos) pergi ke stadium,” katanya pada sidang media pertamanya sebagai Presiden MFL secara maya hari ini.
Pada masa sama, Ab Ghani berkata MFL turut menaruh harapan supaya peratusan penyokong yang dibenarkan ke stadium dapat ditambah berbanding jumlah tertinggi yang diberikan sebelum ini iaitu 25 peratus kapasiti atau 8,000 penonton.
“MFL tidak minta banyak, kekalkan seperti sebelum ini atau jika boleh ditingkatkan supaya dapat memeriahkan Liga-M dan memberi kelegaan kepada penyokong. Saya harapkan ini dapat dipertimbangkan sewajarnya oleh MKN,” katanya.
Pada pertengahan Mac lepas, MKN bersetuju membenarkan kehadiran penonton ke stadium bagi kejohanan sukan seperti Liga-M berkuat kuasa 1 April lalu selepas lebih setahun saingan berlangsung tanpa kehadiran penyokong kerana penularan Covid-19.
Stadium Sultan Ibrahim di Iskandar Puteri dan Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur di Cheras yang dipilih sebagai projek perintis menilai keberkesanan protokol pengurusan penonton menjadi dua venue terawal menerima semula kehadiran penonton masing-masing pada 2 dan 3 April.
MKN selepas itu memberi kebenaran kepada MFL membuka pintu untuk kemasukan bagi semua perlawanan Liga-M bermula 6 April sebelum ‘keistimewaan’ itu ditarik balik susulan peningkatan kes Covid-19 di seluruh negara.
Ab Ghani berkata MFL turut memohon kepada MKN supaya hanya pemain atau pegawai pasukan yang didapati positif Covid-19 perlu menjalani kuarantin, manakala pasukan dibenarkan beraksi dan mengendalikan sesi latihan seperti biasa.
Dalam pada itu, dia berkata MFL akan berbincang mengenai calon bakal mengisi jawatan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) MFL yang kini dipangkunya pada mesyuarat Ahli Lembaga Pengarah MFL dijadual berlangsung Isnin depan.
Ab Ghani mengesahkan setakat ini terdapat dua calon yang ada dalam senarai MFL untuk mengisi jawatan tersebut.
- Bernama
RM12.50 / bulan
- Akses tanpa had kepada kewartawanan yang memenangi anugerah
- Berikan komen dan kongsi pendapat anda tentang semua artikel kami
- Hadiahkan cerita-cerita menarik kepada rakan-rakan anda
- Potongan cukai