Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 3 tahun diterbitkan

'Lu usah kecewa sangat, lepas ini berlatih di Melaka'

Ketua Kontinjen Malaysia (CDM) ke Sukan Olimpik Tokyo 2020, Lee Chong Wei, menasihatkan Lee Zii Jia agar tidak terlalu kecewa dengan kegagalannya meneruskan cabaran pada Sukan Olimpik Tokyo 2020, semalam.

Pemenang pingat perak Olimpik badminton perseorangan lelaki tiga kali berkata, apatah lagi ini adalah penampilan sulungnya di Olimpik dan lawannya adalah juara bertahan serta juara dunia dua kali.

"Usah kecewa sangat. Ia adalah perlawanan yang baik. Satu Malaysia tahu anda telah cuba sedaya upaya.

“Berbekalkan lebih pengalaman nanti, Chen Long pastinya sekadar lubuk untuk lu. Bai, Chen Long bukan calang-calang juara bertahan. Muka saja innocent tapi mamat tu memang ligat otak dalam penafsiran taktik pihak lawan,” katanya.

Mengulas permainan semalam, Chong Wei berkata daripada segi permainan Zii Jia mempunyai kuasa, kelajuan dan teknik melebihi Chen Long.

Yang mungkin kurang, katanya lagi, adalah cemas pada saat-saat penting.

“Olimpik pertama kot, siapalah tak cemas? Game Chong Wei kali pertama Olimpik pun tak kemas.

“Yang penting, dongakkan dagu teruskan usaha. Olimpik akan datang tiga tahun saja. Kejayaan anda tidak hilang, tetapi hanya ditangguhkan.

“Saya bangga dengan kamu. Rakyat Malaysia bangga dengan kamu,” tulis Chong Wei,

Dalam pada itu, Chong Wei juga sempat berseloroh untuk Zii Jia menjadikan Melaka sebagai tempat latihannya selepas pulang dari Tokyo nanti.

"Dengar kata berlatih dekat situ boleh dapat emas Olimpik," selorohnya, merujuk kepada atlet angkat berat Filipina, Hidilyn Diaz yang memenangi pingat emas selepas menjalani latihan di Jasin.

Selain itu Chong Wei juga turut menitipkan pesanan buat Chen Long untuk kejohanan seterusnya.

"Kepada Chen Long, Kamu lagi! Lebih baik jangan biar kami lihat kamu berada di Malaysia dalam satu bulan akan datang! Hahaha.

“Gurau saja. Selamat menjalani kejohanan dan selamat maju jaya!" pesannya.

Pemain perseorangan lelaki negara, Lee Zii Jia memohon maaf kepada seluruh rakyat Malaysia kerana gagal menyumbangkan pingat pada Sukan Olimpik Tokyo 2020, setelah tersingkir dalam saingan pusingan 16 terbaik acara perseorangan lelaki, malam tadi.

Pemain berusia 23 tahun itu, tumpas kepada pemenang pingat emas edisi Rio 2016, Chen Long dari China, mengakui bahawa ramai peminat sukan tanah air mengharapkan beliau untuk menghadiahkan pingat pada Olimpik kali ini.

Pada aksi di Musashino Forest Sport Plaza di Tokyo malam tadi, Zii Jia tumpas kepada juara bertahan Chen Long meskipun pada awalnya mempamerkan rentak permainan yang bertenaga.

Zii Jia bermula cemerlang di set pertama dengan kemenangan 21-8, namun tumpas 19-21 di set kedua sebelum hilang tumpuan pada set penentuan apabila kecundang 5-21.

Zii Jia, yang membuat penampilan pertama pada temasya Olimpik, sebelum ini adalah antara atlet Malaysia diletakkan sandaran untuk meraih pingat emas pertama negara pada Sukan Olimpik Tokyo.

Sementara itu, pemain kelahiran Alor Setar, Kedah itu mengakui pada perlawanan tersebut, hanya pengalaman yang membezakan dia dengan pemain China yang berada di ranking keenam dunia itu.

Zii Jia, bagaimanapun berkata kekalahan itu bukan penamat kepada kariernya, sebaliknya beliau akan bangkit untuk meraih kejayaan demi kejayaan pada kejohanan akan datang.