Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 3 tahun diterbitkan

Beregu lelaki negara mara ke separuh akhir Olimpik

Pasangan beregu lelaki badminton negara, Aaron Chia-Soh Wooi Yik mara ke separuh akhir temasya sukan Olimpik Tokyo.

Pasangan itu mempamerkan prestasi luar biasa mengalahkan pilihan utama beregu nombor satu dunia Kevin Sanjaya Sukamuljo-Marcus Fernaldi Gideon dari Indonesia dalam perlawanan suku akhir.

Walaupun bukan pilihan dalam perlawanan itu Chia dan Soh menang dalam straight set dengan 21-14 21-17 dalam masa 33 minit di gelanggang Musashino Forest Sport Plaza.

Untuk rekod, ini kemenangan pertama Chia dan Soh menumpaskan beregu Indonesia itu selepas lapan perlawanan sebelum ini, sejak pertembungan pertama mereka pada Terbuka Malaysia 2018.

Chia dan Soh merupakan finalis Terbuka All England 2019 dan juga merangkul emas Sukan Sea pada tahun sama.

Pada masa lalu, atlet Malaysia telah memenangi sejumlah 11 pingat Olimpik, lapan daripadanya melalui sukan badminton.

Ini merangkumi enam perak dan dua gangsa yang bermaksud Malaysia masih menanti pingat emas pertamanya dalam temasya Olimpik.

Pada hantaran di Facebook selepas kemenangan itu, Chia mengucapkan terima kasih kepada rakyat Malaysia atas sokongan mereka.

"Kami merasakan sokongan anda, jadi kami berjaya hari ini! Terima kasih kepada anda semua terutama (mereka) yang memberi komen dan (mesej) PM saya sejak malam tadi.

"Ini baru permulaan, dan masih ada beberapa pertempuran sengit yang akan datang.

"(Semangat) kami tidak akan kendur atas kejayaan hari ini, demi Malaysia dan rakyat Malaysia, saya dan Wooi Yik akan mempersiapkan diri untuk tampil pada perlawanan seterusnya sehingga (kami) mencapai matlamat akhir!" katanya.