MOM harap sukan terjun, badminton dan berbasikal menang banyak pingat
Setiausaha Agung Majlis Olimpik Malaysia (MOM), Mohd Nazifuddin Najib berharap sukan seperti terjun, badminton, berbasikal trek terus menyumbang pingat buat Malaysia pada Sukan Olimpik.
Pada Rio 2016, Malaysia meraih tiga pingat perak dalam sukan badminton, satu perak (terjun) dan satu gangsa (berbasikal), ia pencapaian terbaik dalam Olimpik setakat ini.
Malah, Menteri Belia dan Sukan, Reezal Merican Naina Merican baru-baru ini berkata sukan berkenaan mewakili aspirasi utama negara untuk membawa pulang pingat emas Olimpik.
Menjelang temasya Olimpik Tokyo yang secara rasmi akan bermula Jumaat ini, Mohd Nazifuddin berkata jika atlet daripada tiga sukan berkenaan membawa pulang pingat dari Tokyo, Jepun, ia akan menjadi petunjuk bahawa mereka telah mencapai tahap kematangan dalam sukan.
“Saya gembira sekiranya mereka dapat pulang bersama pingat, dan saya berharap mereka akan terus menyumbang kepada pungutan pingat pada Sukan Olimpik,” katanya menerusi video yang dikongsikan kepada media hari ini.
Bagaimanapun, oleh kerana persaingan menjadi semakin sukar Mohd Nazifuddin tidak menolak kemungkinan sukan lain akan muncul lebih baik dan kuat pada masa hadapan.
Sementara itu, beliau berkata peranan yang mencabar digalas setiap ketua kontinjen (CDM) untuk Olimpik Tokyo berikutan pandemik Covid-19.
“Semua perlu dilakukan secara maya. Saya rasa ini adalah proses pembelajaran untuk semua. Temasya kali ini bersejarah kerana Sukan Olimpik akan diadakan di tengah-tengah pandemik,” katanya.
Mohd Nazifuddin menguruskan atlet di Tokyo dan membantu ketua kontinjen Malaysia Datuk Lee Chong Wei dari sana, kerana Chong Wei tidak dibenarkan melakukan perjalanan kerana masalah kesihatan.
Chong Wei akan melakukan tugasnya dari tanah air menerusi interaksi secara dalam talian dengan atlet dan pegawai di Jepun.
Sebanyak 30 atlet akan mewakili Malaysia dalam 27 acara merangkumi 10 sukan di Olimpik Tokyo.
-Bernama
RM12.50 / bulan
- Akses tanpa had kepada kewartawanan yang memenangi anugerah
- Berikan komen dan kongsi pendapat anda tentang semua artikel kami
- Hadiahkan cerita-cerita menarik kepada rakan-rakan anda
- Potongan cukai