MSN lancar Tabung Kemanusiaan Palestin Warga Sukan
Majlis Sukan Negara (MSN) melancarkan Tabung Kemanusiaan Palestin Warga Sukan secara dalam talian sebagai tanda solidariti dan keprihatinan terhadap isu semasa di Palestin.
Menurut kenyataan MSN hari ini, inisiatif yang turut melibatkan atlet dan jurulatih itu diharap dapat membantu meringankan beban rakyat Palestin yang ketika ini berdepan detik sukar dan mencabar.
Antara atlet yang memberi sokongan ialah Mohd Azizulhasni Awang (berbasikal), Muhammad Fadhil Mohd Zonis (berbasikal), Wendy Ng Yan Yee (terjun), Muhammad Ziyad Zolkefli (para olahraga), Farah Ann Abd Hadi (gimnastik), Luqman Al Hafiz Zulfa (gimnastik), Kirtana Ramasamy (olahraga), Tan Cheong Ming (wushu), Chew Wei Lun (boccia), Sarah Yap Khim Wen (taekwondo), Mohd Fauzi Khalid (silat), Cheah Like Hou (para badminton) dan Nicol David (bekas atlet skuasy).
MSN berkata Menteri Belia dan Sukan, Reezal Merican Naina Merican menzahirkan penghargaannya terhadap keprihatinan barisan atlet dan jurulatih negara dalam mencetuskan ilham penubuhan tabung berkenaan.
“Isu kemanusiaan adalah isu kita bersama, merentasi batas agama, bangsa serta kepercayaan dan seharusnya ia tidak harus dilihat daripada kaca mata yang sempit,” kata MSN.
Sementara itu, Ketua Pengarah MSN, Ahmad Shapawi Ismail berkata Tabung Kemanusiaan Palestin Warga Sukan tersebut adalah satu usaha bersama dan sumbangan kecil warga sukan negara terhadap isu kemanusiaan.
“Sukan adalah suara universal dan kita turut terkesan dengan isu-isu kemanusiaan yang berlaku di Palestin. Semoga sumbangan kecil ini sedikit-sebanyak dapat melengkapi keperluan mereka di sana,” katanya.
Tabung Kemanusiaan Palestin Warga Sukan dibuka kepada seluruh rakyat Malaysia sama ada secara individu mahupun organisasi dan sumbangan boleh disalurkan melalui akaun bank Affin Islamic 105200000268 (Majlis Sukan Negara Malaysia) atas nama Tabung Kemanusiaan Palestin Warga Sukan.
- Bernama
RM12.50 / bulan
- Akses tanpa had kepada kewartawanan yang memenangi anugerah
- Berikan komen dan kongsi pendapat anda tentang semua artikel kami
- Hadiahkan cerita-cerita menarik kepada rakan-rakan anda
- Potongan cukai