Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 4 tahun diterbitkan

T'ganu calarkan rekod tanpa kalah JDT

Juara Liga Super sebanyak tujuh kali berturut-turut, Johor Darul Ta’zim (JDT) dikejutkan dengan kekalahan tipis 0-1 di tangan Terengganu FC (TFC) di Stadium Sultan Ibrahim, Iskandar Puteri, malam tadi.

Pemain tengah berusia 21 tahun, Mohamad Hakimi Abdullah muncul wira skuad Penyu apabila berjaya menghukum kesilapan pemain pertahanan JDT pada minit ke-57 untuk gol kemenangan itu.

Kali terakhir TFC mencatatkan kemenangan ke atas JDT adalah ketika kempen Piala Malaysia pada Oktober 2018, manakala pertemuan selepas itu menyaksikan keputusan terikat sebanyak tiga kali dan JDT menang sebanyak tiga kali.

Keputusan itu juga mencalar rekod tanpa kalah JDT, yang belum tewas dalam sembilan perlawanan Liga Super musim ini, selepas kali terakhir tewas dalam aksi liga pada Julai 2019 di tangan Petaling Jaya (PJ) City FC dengan keputusan 0-1.

JDT bagaimanapun kekal di persada Liga Super dengan 23 mata daripada 10 perlawanan, diikuti TFC (21 mata) dan Kedah Darul Aman FC (20 mata).

Sementara itu, Penang FC terus menambah derita buat Sri Pahang FC apabila membenam skuad Tok Gajah 3-0 di Stadium Bandaraya Pulau Pinang.

Skuad Harimau Kumbang mempamerkan kekuasaan apabila menjaringkan gol menerusi pemain import dari Brazil Endrick Dos Santos pada minit ke-11 dan Muhammad Danial Ashraf Abdullah pada minit ke-26.

Skuad kendalian Tomas Trucha yang terus melakukan serangan bertali arus menambah jaringan menerusi tandukan Muhammad Jafri Muhammad Firdaus Chew pada masa kecederaan (90+1) untuk kekal di tempat keempat dengan 19 mata.

Jaringan tunggal M. Tamilmaran pada minit ke-81 membantu PJ City FC mencatatkan kemenangan tipis 1-0 ke atas pasukan tercorot liga, UiTM FC di Stadium UiTM, Shah Alam.

Saingan Liga Premier pula menyaksikan Negeri Sembilan FC kekal di tangga teratas selepas berjaya mengikat pencabar terdekat, Sarawak United 1-1 di Stadium Tuanku Abdul Rahman.

Skuad kendalian E. Elavarasan membuka jaringan seawal minit pertama menerusi Muhammad Gopi Rizqi Ramachandra, namun Negeri Sembilan berjaya menyamakan kedudukan Menerusi Alain Thierry Akono pada minit ke-61.

Kelantan United berjaya mengatasi Kuching City FC 1-0 di Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur, Cheras, manakala TFC II mengikat Selangor FC 2 dengan keputusan 2-2 di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah, Kuala Terengganu.

Negeri Sembilan berada di puncak dengan 18 mata selepas sembilan perlawanan setakat ini, diikuti Sarawak United yang mempunyai satu perlawanan di tangan dengan 17 mata dan Kelantan United dengan 16 mata.

- Bernama