Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 4 tahun diterbitkan

Zii Jia tak ambil vaksin kerana demam - Hendrawan

Juara All England 2021, Lee Zii Jia terlepas suntikan vaksin Covid-19 yang diberikan kepada kumpulan pertama atlet di Pusat Pemberian Vaksin (PPV) Dewan Kompleks Sukan Desa Tasik, Cheras, hari ini kerana demam.

Ketua jurulatih perseorangan lelaki negara, Hendrawan berkata pemain berusia 23 tahun itu mengalami demam sejak dua hari lalu, mungkin disebabkan kepenatan selepas menyertai banyak acara dan majlis sejak menjuarai kejohanan badminton berprestij itu bulan lalu.

“Semalam kita dah periksa dengan doktor Institut Sukan Negara (ISN), memang (Zii Jia) tak dapat terima vaksin hari ini. Demam biasa, keputusan swab test negatif dan juga telah buat pemeriksaan darah kerana disyaki denggi.

“Persiapannya tidak terjejas, mungkin penat atau kurang rehat kerana beberapa hari sejak pulang dari All England telah menyertai banyak acara (majlis). Kita harap tak ada apa-apa,” katanya ketika ditemui Bernama pada Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan, Kementerian Belia dan Sukan (KBS), hari ini.

Mengulas lanjut, Hendrawan berkata pihak Majlis Sukan Negara (MSN) akan membuat penjadualan semula untuk Zii Jia mendapatkan vaksinasi dalam masa terdekat.

Hendarawan juga mengakui bahawa keadaan Zii Jia belum kembali ke prestasi asalnya sejak pulang dari Birmingham pada 23 Mac lepas berikutan perlu menjalani kuarantin selama seminggu dan hanya dapat menjalani latihan separuh hari kerana terlibat dengan pelbagai majlis.

Bagaimanapun, beliau berkata fasa “bulan madu” sudah tamat dan latihan penuh akan bermula pada minggu ini untuk mempersiapkan pemain nombor lapan dunia itu menyertai Terbuka India bermula dari 11 hingga16 Mei, diikuti Terbuka Malaysia (25 hingga 30 Mei) dan Terbuka Singapura (1 hingga 6 Jun) sebagai persediaan ke Sukan Olimpik Tokyo pada Julai depan.

Berkongsi pengalaman menerima vaksin, Hendrawan kini lebih yakin dengan keselamatan pemain dan dirinya yang perlu banyak menyertai kejohanan di luar negara, termasuk kejohanan menawarkan mata kelayakan ke Olimpik.

“Saya gembira dapat vaksin dan secara keseluruhannya proses berjalan lancar. Ini salah satu perlindungan buat pasukan, harap dengan vaksin ini kita lebih selamat hadapi persiapan ke Tokyo,” katanya.

Kumpulan pertama seramai 264 atlet dan pegawai yang telah layak atau terlibat dengan Sukan Olimpik yang dijadual bermula 23 Julai hingga 8 Ogos dan Sukan Paralimpik bermula 24 Ogos hingga 5 Sept, menerima suntikan dos pertama vaksin Pfizer-BioNTech hari ini.

- Bernama