Zii Jia dapat durian runtuh dari 100PLUS
Pemain perseorangan nombor satu negara, Lee Zii Jia menerima durian runtuh berbentuk 1,000 saham F&N (Fraser and Neave Group) bernilai RM30,300 susulan kejayaan sensasinya menjuarai Kejohanan All England di Birmingham bulan lepas.
Sumbangan daripada 100PLUS itu disampaikan kepada Zii Jia oleh Pengerusi F&N Holdings Bhd, Tengku Syarif Bendahara Perlis Datuk Seri Diraja Syed Badarudin Jamalullail Tuanku Syed Putra Jamalullail dan ketua pegawai eksekutifnya Lim Yew Hoe pada satu majlis ringkas di Kuala Lumpur hari ini.
Pengurus Pemasaran Kanan 100PLUS Leong Wai Yin menyifatkan kejayaan Zii Jia yang juga duta minuman isotonik itu sungguh menakjubkan terutamanya ketika menewaskan dua pemain terbaik dunia, Kento Momota dari Jepun di peringkat suku akhir dan Viktor Axelsen (Denmark) pada final di Utilita Arena.
“Pada majlis menandatangani kontrak Jan lepas, Zii Jia menyatakan sokongan 100PLUS akan membantu mendorong dia mencapai kejayaan lebih baik.
"Dia memenuhi janjinya dan sekarang merupakan juara All England,” kata Wai Yin dalam kenyataan hari ini.
Pemain berusia 23 tahun dari Kedah itu menyingkirkan Momota 21-16, 21-19 pada suku akhir dan Axelsen 30-29, 20-22, 21-9 di final untuk muncul juara All England 2021.
Sebelum menjuarai kejohanan tersebut, pemain dari Alor Setar itu menumpaskan pemain Belanda, Mark Caljouw di peringkat separuh akhir 21-13, 21-17.
Wai Yin juga berharap prestasi dan keyakinan pemain nombor lapan dunia itu akan terus berada di tahap tinggi menjelang Terbuka Malaysia yang dijadual bulan depan dan Sukan Olimpik 2020 di Tokyo pada Julai ini.
Selain Zii Jia, legenda badminton negara, Lee Chong Wei dan pasangan beregu negara Aaron Chia dan Soh Wooi Yik juga merupakan duta 100PLUS.
- Bernama
RM12.50 / bulan
- Akses tanpa had kepada kewartawanan yang memenangi anugerah
- Berikan komen dan kongsi pendapat anda tentang semua artikel kami
- Hadiahkan cerita-cerita menarik kepada rakan-rakan anda
- Potongan cukai