Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 4 tahun diterbitkan

KBS akan kemuka rayuan agar Piala Malaysia diteruskan

PARLIMEN | Kementerian Belia dan Sukan (KBS) akan mengemukakan rayuan kepada Majlis Keselamatan Negara (MKN) agar saingan Piala Malaysia 2020 dapat diteruskan bagi menamatkan baki tujuh perlawanan musim ini.

Menteri Belia dan Sukan Reezal Merican Naina Merican bagaimanapun berkata rayuan itu hanya akan dikemukakan jika terdapat penurunan kes Covid-19 dalam negara.

"Secara peribadi selaku Menteri Belia dan Sukan, memang saya amat berharap supaya tujuh perlawanan ini dapat diteruskan di negeri-negeri yang dianggap sebagai (zon) hijau.

"Namun, kita akur dengan (arahan) MKN selain melihat faktor kesihatan dan keselamatan rakyat jauh lebih penting, di samping juga kesediaan dua negeri tersebut (Kelantan dan Pahang) untuk memberi kebenaran," katanya pada sesi soal jawab di Dewan Rakyat hari ini.

Reezal Merican berkata demikian bagi menjawab soalan tambahan Nik Mohamad Abduh Nik Abdul Aziz (PN-Bachok) yang meminta penjelasan terhadap tahap keupayaan semasa pasukan bola sepak tempatan dalam mendepani Covid-19 ketika ini.

Saingan Piala Malaysia masih berbaki tujuh perlawanan melibatkan empat aksi suku akhir yang dijadualkan pada 12 dan 13 Nov, diikuti dua perlawanan separuh akhir (17 Nov) dan final pada 22 Nov.

Pusingan pertama Piala Malaysia berlangsung dari 6 hingga 8 Nov lepas.

Perlawanan suku akhir bakal menyaksikan juara bertahan JDT menentang Kuala Lumpur; Pulau Pinang berdepan UiTM FC; Terengganu FC melawan Perak, dan Kedah berdepan juara 33 kali, Selangor.

Pada Isnin, Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Ismail Sabri Yaakob berkata MKN memutuskan supaya saingan Piala Malaysia tahun ini ditangguhkan ke suatu masa yang akan ditetapkan.

Susulan itu, Liga Bola Sepak Malaysia (MFL) semalam mengemukakan rayuan kepada MKN agar dapat menimbang semula keputusan berkenaan.

Ketua Pegawai Eksekutif MFL Ab Ghani Hassan berkata pihaknya telah menyediakan perancangan untuk meneruskan saingan di negeri bukan PKPB dan memohon menggunakan Stadium Sultan Mohamad Ke-IV di Kota Bharu, Kelantan dan Stadium Darul Makmur di Kuantan, Pahang untuk aksi suku akhir, separuh akhir dan final.

Sebelum ini, kerajaan mengumumkan PKPB dilaksanakan di semua negeri di Semenanjung Malaysia - kecuali Pahang, Perlis dan Kelantan - berkuat kuasa selama empat minggu bermula 9 Nov.

- Bernama