Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 4 tahun diterbitkan

MFL rayu MKN tidak tangguh Piala Malaysia

Liga Bola Sepak Malaysia (MFL) hari ini mengemukakan rayuan kepada Majlis Keselamatan Negara (MKN) agar dapat mempertimbangkan semula keputusan menangguhkan saingan Piala Malaysia 2020.

Ketua Pegawai Eksekutif MFL Datuk Ab Ghani Hassan berharap MKN akan mempertimbangkan rayuan MFL untuk meneruskan aksi Piala Malaysia yang memasuki peringkat suku akhir dengan mengikut perancangan khas serta prosedur operasi standard (SOP) ketat termasuk mengadakan perlawanan secara berpusat.

“Sebagai contoh pasukan yang layak ke peringkat suku akhir akan bermain di sebuah negeri sehingga ke peringkat separuh akhir dan seterusnya ke perlawanan akhir. Pasukan yang tewas akan meninggalkan negeri tersebut setelah tamat perlawanan.

“Keputusan untuk mengemukakan rayuan ini turut disokong oleh lapan pasukan yang layak ke suku akhir, dan mereka bersedia untuk beraksi mengikut perancangan dan SOP seperti yang ditetapkan oleh MFL dan MKN,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Semalam, Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengumumkan MKN memutuskan saingan Piala Malaysia ditangguhkan ke suatu masa yang akan ditetapkan.

MKN berpendapat sukan itu yang melibatkan sentuhan antara pemain boleh menyebabkan risiko jangkitan COVID-19.

Sebelum ini, kerajaan mengumumkan PKPB dilaksanakan di seluruh negeri di Semenanjung kecuali Pahang, Perlis dan Kelantan, berkuat kuasa selama empat minggu bermula 9 Nov hingga 6 Dis depan.

Dalam perkembangan sama, Ab Ghani berkata MFL sebelum ini sudah beberapa kali mengadakan perbincangan bersama Menteri Belia dan Sukan Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican dalam mencari kaedah alternatif selepas kerajaan mengumumkan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Bersayarat (PKPB) di beberapa negeri di Semenanjung, Sabtu lalu.

“MFL menyediakan perancangan untuk meneruskan saingan di negeri-negeri berkecuali PKPB dan telah memohon untuk menggunakan venue Stadium Sultan Mohamad Ke-IV, Kota Bharu dan Stadium Darul Makmur, Kuantan untuk aksi suku akhir, separuh akhir dan final,” katanya.

Dalam pada itu, Ab Ghani berkata penangguhan saingan Piala Malaysia bakal memberi banyak kesan kepada industri bola sepak negara yang menyaksikan MFL serta pasukan bertanding bakal terkesan terutamanya dari segi komitmen penajaan yang dimeterai bersama barisan penaja untuk musim 2020.

Selain itu, kontrak pemain Liga-M 2020 bersama pasukan yang bakal berakhir hujung bulan ini turut menyukarkan MFL untuk menangguhkan saingan tersebut musim ini.

Aksi suku akhir Piala Malaysia 2020 menyaksikan juara bertahan Johor Darul Ta’zim (JDT) akan menentang Kuala Lumpur; Pulau Pinang berdepan UiTM FC; Terengganu FC melawan Perak dan Kedah berdepan juara 33 kali Selangor.

Pusingan pertama Piala Malaysia berlangsung dari 6 hingga 8 Nov lau sementara aksi suku akhir dijadual pada 12 dan 13 Nov, separuh akhir (17 Nov) dan final pada 22 Nov ini.

- Bernama