Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 4 tahun diterbitkan

Wan Fayhsal akan bincang dengan MB Perak cari jalan bantu Khalid

Timbalan Menteri Belia dan Sukan Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad akan berbincang dengan Menteri Besar Perak, Ahmad Faizal Azumu bagi mencari jalan untuk membantu bekas pemain Perak, Khalid Jamlus.

Beliau berkata, nama bekas pemain kebangsaan itu juga telah dimasukkan dalam senarai Yayasan Kebajikan Atlet Kebangsaan (Yakeb).

"Yang lain-lain masih dalam proses perbincangan, jadi saya tak boleh umum lagi, apa-apa kita ikhtiarlah.

"Kita menunggu juga daripada Perak FA apa yang boleh mereka bantu, saya akan bercakap dengan Menteri Besar Perak dan dengan menteri (belia dan sukan) sendiri juga kita bincang.

"Apa-apa pengumuman saya tak boleh buat selagi tak ada keputusan," katanya ketika dihubungi Malaysiakini, hari ini.

Kisah Khalid mencuri perhatian warga maya apabila beliau melelong trofi kasut emas yang dimenanginya pada tahun 2002 itu demi meneruskan kelangsungan hidup.

Hasrat Khalid itu mendapat perhatian Wan Fayhsal yang cuba mencari jalan bagi membantu bekas pemain Perak dan Kelantan itu.

Semalam, Khalid bertemu Wan Fayhsal bagi mencari jalan merungkai kemelut yang beliau hadapi.

Sejurus pertemuan itu BH Online melaporkan Khalid Jamlus tidak berganjak dengan keputusannya apabila tetap mahu 'melepaskan' trofi kasut emas yang dimenangi bersama Perak, 18 tahun lalu.

Sekalipun beroleh keputusan positif menerusi pertemuan dengan timbalan menteri belia dan Sukan.

Bekas pemain berusia 43 tahun itu menegaskan ia tetap perlu dilakukan demi kelangsungan hidupnya.

Khalid turut menawarkan Persatuan Bola Sepak Perak (Perak FA) untuk membeli trofi untuk disimpan di muzim pada nilai yang sewajarnya.

"Apa masalah yang akan datang kalau Yakeb boleh bantu kita akan bantu," kata Wan Fayhsal lagi.