Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 5 tahun diterbitkan

Masum 2020 masukkan e-Sukan, woodball dan futsal

Karnival Sukan Universiti Malaysia (Masum) edisi 2020 akan mempertandingkan e-Sukan, Woodball dan Futsal, selaras dengan perkembangan terbaharu sukan elektronik dan juga mencungkil bakat baharu sukan-sukan lain.

Pengerusi Masum, Prof Madya Dr Nurulfajar Abd Manap berkata pada edisi kali ini lebih 7,000 atlet dan pegawai mengambil bahagian di dalam karnival sukan Masum ini, yang akan diadakan dalam dua fasa iaitu pertamanya di Universiti Teknologi Mara (UiTM) Perlis dan keduanya di UiTM Shah Alam.

Katanya, karnival Sukan Masum 2020 Fasa satu berlangsung secara rasmi semalam sehingga Khamis (6 Feb) telah dirasmikan pembukaannya oleh Timbalan Ketua Setiausaha (Perancangan Strategik) Kementerian Pendidikan Malaysia Kamel Mohamed, di Kompleks Sukan Tuanku Syed Faizuddin Putra, UiTM Perlis.

“Untuk fasa satu, 11 acara sukan dipertandingkan melibatkan 65 pingat emas, 65 perak, dan 65 gangsa untuk direbut atlet daripada 20 universiti awam yang menyertai Masum 2020” katanya kepada Bernama, malam tadi.

Tahun lepas, UiTM muncul juara keseluruhan Masum 2019 yang membawa pulang 64 pingat emas, 33 perak dan 35 gangsa.

- Bernama