Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 5 tahun diterbitkan

Yusri harap penyokong TRW tak takir sangat pada pemain

Ketua Jurulatih Kelantan, Yusri Che Lah, akan mengumumkan senarai penuh pemain yang akan memperkuatkan skuad The Red Warriors bagi menghadapi saingan Liga Malaysia (Liga-M) khususnya Liga Premier selepas 17 Jan ini.

Yusri berkata dia masih menilai prestasi pemain-pemain yang sedang diuji ketika ini menerusi beberapa perlawanan persahabatan yang dirancang sebagai pemanas badan sebelum mereka kembali bertarung dalam perlawanan sebenar.

"Saya tidak boleh menunggu masa yang lama kerana banyak yang perlu diperbaiki dalam tempoh persiapan yang hanya tinggal tujuh minggu sebelum sepak mula pada Feb ini.

"Pada musim lepas, kita menggunakan 100 peratus khidmat pemain muda dan pada musim ini, saya merancang untuk menyeimbangkannya dengan pemain berpengalaman agar mereka dapat membimbing pemain muda ketika beraksi di atas padang,” katanya ketika ditemui pemberita di Kota Bharu, hari ini.

Yusri berkata antara pemain berpengalaman yang akan dibawa masuk bagi memperkuatkan pasukan Kelantan musim ini termasuklah Mohd Nazrin Mohd Nawi, Wan Zaharulnizam Wan Zakaria, Mohd Farisham Ismail manakala empat pemain import masih dalam ujian dan penilaian.

Yusri berkata dia masih mencari penyerang berbakat yang akan mengemudi jentera serangan walaupun sedang menguji beberapa pemain import ketika ini bagi memperkuatkan pasukan.

Menurutnya Kelantan kini sedang menguji dua pemain import sebagai penyerang iaitu Odili Felix Chidi dari Nigeria, Ghanefo Ansumana Agogo Kromah (Liberia) manakala Bektur Talgat Uulu (Kyrgyzstan) di posisi tengah dan Eze Kingley Obomneme (Nigeria) pula di bahagian pertahanan.

"Dalam tempoh persiapan ini saya akan bekerja keras untuk mendapatkan sesuatu yang berkualiti terutama di barisan hadapan yang sering menimbulkan kegusaran kepada pengurusan pasukan," katanya.

Dalam pada itu, Yusri berharap pemain yang berada dalam senarai panjang pasukan ketika ini dapat memperbaiki kelemahan yang ada sebelum keputusan muktamad pemain diumumkan.

"Kelemahan yang jelas perlu diperbaiki oleh rata-rata pemain ialah aspek komunikasi, kawalan bola dan kematangan pemain kerana ia membawa hala tuju pasukan pada setiap perlawanan yang dihadapi kelak.

"Begitu juga dengan harapan kepada penyokong, sebolehnya kami mengharapkan mereka tidak terlalu bersikap takir (menghentam) pemain, sebaliknya berilah peluang kepada pemain kerana jika bersikap menghentam pemain saya rasa ia akan menurunkan lagi prestasi mereka," katanya.

- Bernama