Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 5 tahun diterbitkan

The Bos Gaurus tak resah Brendan Gan berhijrah

Kapten pasukan Perak, Shahrul Mohd Saad, optimis skuad itu mampu menyerlah dalam kancah Liga Malaysia bagi musim depan meskipun kehilangan pemain tengah kebangsaan, Brendan Gan, yang berhijrah ke Selangor.

Shahrul berkata, ini kerana terdapat beberapa pemain muda yang dilihat berpotensi diketengahkan sekali gus mengisi kekosongan ditinggalkan Brendan khususnya di bahagian tengah jentera pasukan.

"Saya rasa ada yang mampu gantikan Brendan, terutama pemain muda. Mereka akan terima cabaran ini dan saya sangat yakin dengan semangat yang ditunjukkan, mungkin mereka akan lebih menyerlah daripada Brendan.

"Bagi saya juga, keluar masuk (penghijrahan) pemain ini adalah perkara biasa untuk setiap pasukan. Kami sentiasa positif, kami masih lagi bersama Perak dan kami akan terus berjuang," katanya.

Dia berkata demikian ketika ditemui pada sidang media selepas menghadiri kempen Jelajah Awfar Bank Islam yang turut disertai lebih 300 peminat skuad The Bos Gaurus di Pasar Raya Besar Mydin Meru Raya, Ipoh, hari ini.

Selain itu, Shahrul berkata, kemasukan penyerang import dari Brazil, Guilherme De Paula, juga akan memberi tonik tambahan kepada jentera serangan The Bos Gaurus berdasarkan pengalaman dan ketajama pemain terbabit.

"Saya rasa dia (De Paula) dah biasa dengan Liga Malaysia. Kita tahu dia juga dapat menjaringkan banyak gol dengan Kuala Lumpur pada musim lalu. Saya harap dia dapat teruskan momentum itu untuk pasukan Perak pula," katanya.

Mengulas sasaran pasukan Perak dalam saingan musim depan, Shahrul berkata, mereka akan cuba mempamerkan aksi terbaik untuk mencabar pasukan-pasukan ternama lain seperti JDT, Pahang, Kedah dan Selangor.

"Saya rasa tak mustahil untuk kami semua bersaing dengan pasukan laon. Paling penting ialah semangat juang bersama-sama. Kalau kita serius, kita boleh buat," katanya.

- Bernama