Temasya Sukan SEA ke-30 di Filipina rasmi bermula
Temasya Sukan SEA ke-30 dibuka secara rasmi dengan penuh tradisi dalam satu majlis pembukaan penuh gilang gemilang di stadium terbesar dunia, Philippines Arena, di Bulacan, dekat Manila di Filipina, malam.
Buat pertama kalinya dalam sejarah 60 tahun sukan dwitahunan itu, majlis perasmiannya berlangsung dalam dewan tertutup dan bukannya di stadium terbuka.
Lebih menarik lagi pada Sukan SEA kali ini, kawah obor sukan ini diletakkan di lokasi berbeza, iaitu di ‘New Clark Athletics Stadium’ yang terlelak kira-kira 90 kilometer dari Bulacan, dan majlis penyalaan obor itu disiarkan melalui skrin di arena yang berkapasiti 55,000 orang itu.
Acara perasmian dimulakan dengan nyanyian lagu kebangsaan Filipina oleh Lani Misalucha diikuti dengan persembahan bertenaga bertemakan ‘The Roots of our Strengh’ yang menunjukkan pelbagai kebudayaan dan warisan negara itu dan dipersembahkan dengan siri tarian pahlawan dari Bagobo, Kalinga, Maguindanao, Islamik dan pre-Hispanik Visayans.
Perarakan para kontinjen diiringi sorakan ceria para penonton, sebaik sahaja memasuki arena itu dalam susunan mengikuti abjad bermula dengan Brunei, Kemboja, Indonesia, Laos, Malaysia, Myanmar, Singapura, Thailand, Timor Leste, Vietnam dengan kontinjen tuan rumah menjadi pasukan terakhir memasuki arena.
Kontinjen Malaysia didahului pembawa Jalur Gemilang dan juara dunia boling 2018 Rafiq Ismail, diikuti lebih 100 atlet dan pegawai termasuk Chef-de-mission (CDM) Datuk Megat Zulkarnain Omardin dan dua timbalannya Nurul Huda Abdullah dan Ahmad Faedzal Md Ramli.
Dengan berbaju Melayu dan berbaju kurung berwarna putih selain, bersamping warna merah dan bertengkolok (bagi lelaki) dan selendang bermotifkan Jalur Gemilang (wanita), tuan rumah Sukan SEA 2017 itu berjalan di hadapan penonton dengan penuh semangat dan menunjukkan kepelbagaian bangsa di Malaysia.
Selepas Presiden Filipina, Rodrigo Duterte mengisytiharkan pembukaan Sukan SEA ke-30, penonton dipersembahkan dengan satu persembahan moden dan hip hop bertenaga oleh artis tempatan antaranya Inigo Pascual, Robert Sena, Apl de Ap dan KZ Tandingan sebelum acara penyalaan obor ditayangkan di skrin.
Peninju berkelas dunia dari Filipina, Manny Pacquiao dan Nesthy Petecio diberikan penghormatan sebagai pembawa obor, sebelum mereka menyalakan kawah obor yang menandakan bermulanya temasya 12 hari itu.
Dengan tema ‘We Win As One’, Sukan SEA kali ini akan berlangsung selama 12 hari sehingga majlis penutupan rasminya di New Clark Athletics Stadium pada 11 Dis.
Lebih 8,000 atlet dari 10 negara ASEAN dan Timor Leste akan bertanding dalam 530 acara daripada 56 jenis sukan yang dilangsungkan di tiga kluster utama iaitu Manila, Clark dan Subic.
Sukan SEA ke-30 ini merupakan kali keempat Filipina menjadi tuan rumah, selepas 1981, 1991 dan kali terakhir pada 2005.
Sukan SEA kali ini juga memperkenalkan beberapa sukan baharu antaranya arnis, jujitsu, kickboxing, hoki dalam air dan e-Sukan.
Selaku juara bertahan, Malaysia menghantar satu kontinjen yang kuat dengan 773 atlet dan 339 pegawai dengan menyertai 52 jenis sukan dan menyasarkan untuk membawa pulang 70 emas, 51 perak dan 105 gangsa untuk kedudukan tempat keempat.
- Bernama
RM12.50 / bulan
- Akses tanpa had kepada kewartawanan yang memenangi anugerah
- Berikan komen dan kongsi pendapat anda tentang semua artikel kami
- Hadiahkan cerita-cerita menarik kepada rakan-rakan anda
- Potongan cukai