'KBS belum terima notis tuntutan mohon maaf rasmi dari Indonesia'
Menteri Belia dan Sukan Syed Saddiq Syed Abdul Rahman berkata pihaknya belum menerima notis rasmi dari rakan sejawatnya dari Indonesia bagi menuntut Malaysia memohon maaf atas dakwaan serangan terhadap seorang warga Indonesia minggu lepas.
Syed Saddiq bagaimanapun berkata dia sudah memohon maaf sebelum ini dan polis masih menyiasat kejadian itu berdasarkan klip rakaman video 48 saat yang berdedar di media sosial.
Klip video tular itu dikatakan memaparkan sekumpulan rakyat Malaysia menyerang penyokong bola sepak Indonesia selepas kemenangan 2-20 Malaysia pada perlawanan Kelayakan Piala Dunia 2022/ Piala Asia 2023 di Stadium Nasional di Bukit Jalil pada Selasa lalu.
"Saya telah memohon maaf tetapi saya difahamkan mereka (kerajaan Indonesia) ada mengatakan mereka menuntut permohonan maaf secara rasmi, tetapi sehingga sekarang, pejabat saya tidak menerima notis rasmi.
"Saya melihatnya (notis tuntut Malaysia mohon maaf secara rasmi) telah tular di media sosial. Bila saya sudah terima (notis itu), saya akan respons secara rasmi," kata menteri itu kepada pemberita di lobi parlimen hari ini.
Syed Saddiq diminta mengulas mengenai tuntutan Indonesia agar Malaysia meminta maaf secara rasmi. Salinan notis itu telah dimuat naik oleh Kementerian Pemuda dan Olahraga Indonesia (Kemenpora) di Twitter Sabtu lalu.
Menurut notis itu, setiausaha kementerian Gatot S Dewa Broto menyatakan kekecewaan berhubung kejadian yang melibatkan serangan terhadap penyokong Malaysia selepas Malaysia menang dalam perlawanan adi Stadium Gelora Bung Karno di Jakarta pada September.
Rakan sejawat Syed Saddiq, Imam Nahrawi memohon maaf secara rasmi atas kejadian itu.
Bagaimanapun, berhubung kes yang dikatakan serangan terhadap penyokong Indonesia, polis Malaysia menegaskan bahawa serangan yang dilihat dalam video itu bukan berlaku di Stadium Nasional Bukit Jalil.
Sebaliknya, Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Huzir Mohamed mendakwa kejadian itu berlaku di Bukit Bintang kira-kira pukul 2 pagi, sehari sebelum perlawanan dan ia dikelaskan sebagai kes rompakan.
Kedutaan Indonesia di Kuala Lumpur telah mengenal pasti mangsa yang dikatakan sebagai Fuad Naji, yang mendakwa membuat laporan polis beberapa jam sebelum perlawanan bermula.
Kedutaan itu juga mendakwa Fuad telah kehilangan pasportnya dalam kejadian itu dan difahamkan telah kembali ke Indonesia.
Syed Saddiq hari ini memberitahu pemberita bahawa polis masih menyiasat perkara itu dan menggesa pihak yang mempunyai maklumat tentang perkara itu untuk tampil bagi membantu siasatan.
Syed Saddiq sebelum ini menyeru penyokong Indonesia untuk tidak mempercayai video itu.
Syed Saddiq bagaimanapun kemudian memuat naik video lain di Twitter dan meminta maaf. Syed Saddiq berkata pihak berkuasa masih berusaha memastikan jika insiden tersebut dikaitkan dengan bola sepak.
Sementara itu, Kemenpora, di halaman Twitter rasminya hari ini memuat imej pertemuan Gatot dengan seorang lelaki yang dikatakan Fuad.
Dalam satu siri ciapan, kementerian itu berkata Fuad mendakwa dia dan seorang rakannya yang hanya dikenali sebagai Yovan, diserang oleh 15 hingga 20 individu dan kejadian itu seperti "dirancang".
"Ia juga memastikan agar pihak Kemenpora akan mengumpulkan maklumat bagi membantu proses siasatan. Jika nanti, Fuad atau Yovan dipanggil oleh Polis Diraja Malaysia (PDRM), maka mereka akan mendapatkan bantuan dari pihak keduataan Indinesia di Malaysia," katanya.
RM12.50 / bulan
- Akses tanpa had kepada kewartawanan yang memenangi anugerah
- Berikan komen dan kongsi pendapat anda tentang semua artikel kami
- Hadiahkan cerita-cerita menarik kepada rakan-rakan anda
- Potongan cukai