Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 5 tahun diterbitkan

Sukan SEA: Wan Kuzain perlu pulang segera - FAM

Masa semakin suntuk dan kini segalanya bergantung kepada Wan Kuzain Wan Kamal sekiranya pemain sedang mencipta nama di liga bola sepak Amerika Syarikat itu ingin membuat penampilan sulung di temasya Sukan SEA Filipina 2019 bersama skuad Bawah 22 Tahun (B-22) negara.

Setiausaha Agung Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Stuart Ramalingam mengesahkan pemain yang beraksi bersama Sporting Kansas City itu tidak berdepan masalah dokumentasi mahupun pelepasan daripada kelabnya.

Namun, proses untuk memastikan Wan Kuzain dapat menyarung jersi kebangsaan memakan tempoh sekurang-kurangnya dua minggu dan FAM kini hanya menunggu kepulangan Wan Kuzain ke Malaysia setelah saingan Major League Soccer (MLS), Amerika Syarikat berakhir pada awal November ini.

Stuart berkata tempoh yang singkat untuk menguruskan proses berkenaan akan memberi impak negatif dari sudut teknikal.

“Kalau dia datang lewat sangat...kemudian terus nak bermain bersama pasukan, saya rasa ia mungkin akan merumitkan keadaan dalam pasukan tetapi perkara teknikal itu kita serahkan di tangan ketua jurulatih (Datuk Ong Kim Swee)," katanya kepada pemberita di Petaling Jaya, hari ini.

Nama Wan Kuzain mula menjadi bualan hangat peminat bola sepak tempatan selepas pemain itu menyatakan hasrat untuk bermain mewakili Malaysia di temasya Sukan SEA yang bermula pada 26 Nov depan.

Kim Swee turut mengesahkan nama Wan Kuzain berada dalam senarai pemain dipanggil menyertai kem latihan pusat yang dijadualkan bermula pada 4 Nov ini bagi menghadapi temasya dwitahunan itu.

Dalam pada itu, Stuart berkata jadual rasmi saingan acara bola sepak di temasya itu masih belum dikeluarkan dan kemungkinan tarikh akhir pendaftaran pemain dan pasukan akan dilanjutkan sehingga 23 atau 24 Nov.

"Jadual rasmi belum dikeluarkan...selain itu ada permintaan dibuat daripada negara Asean kepada PHISGOC (Jawatankuasa Penganjur Sukan SEA Filipina) untuk lanjutkan tarikh akhir memandangkan pada 19 Nov terdapat negara Asean yang bermain pada pusingan kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023.

- Bernama