Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 5 tahun diterbitkan

Hak siaran Liga-M: MFL tarik balik saman terhadap TM

Liga Bola Sepak Malaysia (MFL) hari ini menarik balik tuntutan saman terhadap Telekom Malaysia Berhad (TM), berhubung isu pembayaran hak penyiaran Liga Malaysia (Liga-M).

Dalam kenyataan MFL hari ini, keputusan menarik balik tuntutan saman melalui notis pemberhentian yang difailkan di Mahkamah Tinggi pada 21 Mac lepas, dibuat menerusi persetujuan bersama Ahli Lembaga Pengarah MFL dalam satu mesyuarat baru-baru ini.

Presiden MFL, Hamidin Mohd Amin dalam kenyataan tersebut menjelaskan tindakan menarik balik saman terhadap TM membuktikan semangat kesukanan tinggi, yang telah terjalin antara pengendali Liga-M dengan syarikat gergasi telekomunikasi negara itu.

“Saya mengesahkan bahawa MFL telah bersetuju untuk menarik balik tuntutan saman terhadap TM, selepas mencapai persetujuan dengan kesemua barisan Ahli Lembaga Pengarah MFL.

“Tindakan MFL menarik balik saman terhadap TM berkaitan isu pembayaran hak penyiaran Liga Malaysia musim 2019 membuktikan semangat kesukanan di antara MFL dan TM, di mana saya percaya kita boleh mencari titik persamaan demi kebaikan bersama," katanya dalam kenyataan itu.

Jelas Hamidin, tindakan manarik balik tuntutan saman itu juga demi kelangsungan hubungan baik antara dua entiti tersebut, selain mewujudkan suasana kondusif dalam memajukan arena bola sepak negara.

"Saya optimis bahawa situasi ini akan menjadikan hubungan MFL dan TM terjalin lebih utuh, di mana saya percaya semua peminat bola sepak mahu melihat suasana kondusif dapat diwujudkan sekali gus memberikan mesej bahawa syarikat korporat perlu bergerak seiring dalam memajukan bola sepak negara,” katanya.

TM sebelum ini menandatangani kontrak perjanjian selama lapan tahun pada Januari 2018 dengan jumlah keseluruhan yang difahamkan sekitar RM480 juta.

Namun, pada 15 Mac lepas MFL mengumumkan untuk menamatkan kontrak tersebut berkuat kuasa serta-merta selepas TM didakwa gagal menjelaskan pembayaran hak penyiaran musim ini.

- Bernama