Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 6 tahun diterbitkan

Liga Bola Sepak M'sia saman Telekom Malaysia

Liga Bola Sepak Malaysia (MFL) mengambil tindakan undang-undang terhadap Telekom Malaysia (TM) dengan memfailkan saman di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur, berhubung pelanggaran kontrak penajaan oleh syarikat telekomunikasi itu kerana gagal membuat pembayaran hak penajaan dan penyiaran untuk Liga Malaysia 2019.

MFL dalam satu kenyataan semalam, memaklumkan tindakan undang-undang berkenaan diambil terhadap TM demi melindungi kepentingan pasukan yang bertanding dalam Liga Malaysia.

"Jumlah dituntut oleh kami terhadap TM di bawah kontrak penajaan bersama adalah melebihi RM400 juta dan saman tersebut juga disampaikan kepada peguam cara TM pada hari ini.

“Memandangkan perkara ini dirujuk kepada proses undang-undang, kami tidak akan memberi sebarang komen lanjut terhadap perkara ini dan menyerahkan pertikaian ini untuk diputuskan di mahkamah," jelas MFL.

Kedua-dua pihak dilaporkan menandatangani perjanjian untuk tempoh lapan tahun bermula dari Januari 2018 sehingga 2025.

TM, bagaimanapun didakwa mencadangkan terma-terma baharu termasuk perubahan kepada terma asas yang dipersetujui bersama sehingga wujud perbezaan pendapat antara kedua-dua pihak.

Untuk rekod, MFL pada Jumaat lepas, dilaporkan mengambil keputusan menamatkan kontrak penajaan bersama TM, selepas mencapai kata sepakat dalam satu mesyuarat Ahli Lembaga Pengarah di Johor Bahru.

- Bernama