ULASAN | Sedapnya patin tempoyak, evolusi dan mimpi PAS di Pahang
Nampaknya PAS tidak berlengah-lengah lagi, pilihan raya umum ke-16 (PRU16) seperti akan berlaku segera mungkin. Mereka seperti sudah bersedia termasuk dengan impian dan mimpi-mimpi.
PAS juga memberi signal betapa banyak keadaan mencemaskan sedang berlaku, betapa Putrajaya begitu kucar-kacir. Tetapi kami, pengamal media tidak cemas.
Mujurlah kami yang berkampung di Temerloh dan berakhir petang Ahad lalu ditenangkan dengan banyak hal di sepanjang Muktamar PAS ke-70 berlangsung.
Ikan patin masak tempoyak yang sedap misalnya, atau urus setia yang sentiasa risau kalau kami lapar dan layanan petugas Muktamar ternyata berjaya menenangkan kami.
Kami kekal tenang sambil memerhati serta merekod evolusi-evolusi yang berlaku di Kompleks Al-Makmur, Kerdau.
Di setiap penjuru dewan kompleks itu, ada dada yang berkobar-kobar menadah ucapan berapi-api oleh pimpinan, ada yang memendam rasa, ada yang meletak harap melepasi ketinggian puncak Genting Highlands.
Kepada yang mengikuti rapat apa yang berlaku di Kerdau sejak Rabu lalu itu, barang kali sesuai juga jika kita renung kembali amanah disampaikan seorang pemimpin PAS di Jalan Raja Muda, Kuala Lumpur pada 22 Ogos 1964.
Dalam ucapan dasar Muktamar ke-12, Yang Dipertua PAS (ketika itu) Allahyarham Burhanuddin Helmi pada 60 tahun lalu itu antara lain menegaskan:
“Bertengkar mengenai politik dalam negara demokrasi bukanlah bermakna berpecah-belah oleh umumnya rakyat dalam negara kita. Inilah tragedi demokrasi kita.
“Oleh itu saya menyeru supaya demokrasi dengan pengertiannya yang murni ini dapat benar-benar difahami oleh sekalian rakyat supaya kita semua terjauh daripada sengketa yang tidak sewajarnya berlaku dalam kalangan masyarakat kita terutamanya di kampung-kampung,” katanya yang memimpin PAS dari tahun 1956 hingga 1969.
Adakah generasi pelbagai peringkat dalam PAS kini masih mengenang dan berpegang pada amanah malar segar pemimpin silam itu?
Jika didasari pada kata-kata Burhanuddin itu, evolusi pada era kepimpinan Presiden PAS Abdul Hadi Awang seolah-olah tidak berlaku, ada pun mungkin terlalu perlahan bahkan terlalu kompleks.
Jika mengikuti perbalahan penyokong-ponyokong politik di media-media sosial, apa yang dinasihati Burhanuddin itu masih jauh untuk dicapai. Kebebasan bersuara yang terhidang di platform digital masih menebal dengan persengketaan masyarakat, kebebalan wacana dan kepandiran akhlak.
Bahkan di kalangan penyokong PAS sendiri sebagai sebuah parti yang dasarnya amat menjunjung tinggi kemuliaan akhlak.
Ucapan kebencian, wasangka buruk, persepsi negatif dan gambaran fitnah masih bertebaran seolah-olah hilang kewarasan orang beragama. Entah di mana silapnya dan ternyata pesanan tokoh besar PAS itu tidak mampu dihayati dengan mudah apalagi menjadi ikutan pewaris perjuangan.
PAS dan evolusi kaum bukan Melayu
Pada muktamar kali ini, parti itu memperlihatkan betapa perlunya mereka berevolusi dengan keperluan pentingnya kaum-kaum bukan Melayu tertawan dengan ideologi Islam tawaran PAS.
Malah di pentas utama Kompleks Al-Makmur itulah munculnya cadangan-cadangan agar PAS menawan hati pengundi bukan Melayu.
Misalnya cadangan supaya menggalakkan pemuda-pemudi PAS berkahwin dengan kaum-kaum selain Melayu.
Selain itu PAS juga akhirnya membuka keahlian kepada ahli bukan Islam sebagai ahli bersekutu walaupun cadangan mengenainya dikatakan sudah muncul sejak tahun 1956 lagi.
Malah pada sekitar 2013 cadangan itu antaranya dilontarkan juga oleh bekas Pengerusi DAP mendiang Karpal Singh.
Namun cadangan itu ditolak atas alasan tiada keperluan dan cukup sekadar didukung dengan Dewan Himpunan Penyokong PAS (DHPP).
Kali ini DHPP turut diangkat sebagai sayap rasmi parti itu walaupun keahlian bersekutu tidak dibenarkan mengundi dalam pemilihan kepimpinan utama PAS, negeri kawasan dan cawangan.
Ini satu perkembangan menarik walaupun DHPP masih dianggap satu entiti kecil dalam PAS, kemajuannya di masa depan sudah tentu menarik untuk diikuti ketika dominasi undi kaum bukan Melayu kini berpihak kepada musuh.
Sekurang-kurang ini satu usaha untuk memperkasakan kembali idea ‘PAS untuk semua’ yang pernah popular era Pakatan Rakyat dan tidak lagi dilabel sebagai sebuah parti asabiah.
Mimpi PAS di Pahang
Selepas kejayaan mentadbir empat negeri dalam pilihan raya negeri (PRN) lalu, PAS terus mengorak langkah dan kini mengimpikan negeri Pahang sebagai sasaran baru mereka.
Penganjuran muktamar yang dibuat di Temerloh kali ini memberi isyarat utama betapa kepimpinan parti itu yakin bumi Tok Gajah mampu dirampas mereka.
Walaupun realitinya sukar, barisan kepimpinan PAS Pahang menegaskan bahawa mereka ada strategi dan yakin mampu merealisasikan impian itu.
Jika prestasi PRU ke-15 dijadikan ukuran, cita-cita itu dilihat tidak mustahil sama sekali dan lawan-lawan PAS juga perlu sedar hakikat itu.
Bahkan pencapaian meraih kemenangan di 17 kerusi DUN melalui Perikatan Nasional (PN) membuktikan mereka mampu mencabar keselesaan BN di negeri Darul Makmur itu.
Namun, jika perkembangan politik mutakhir diambil kira dan kerjasama BN-PH terjadi pada PRU16, mimpi PAS masih abstrak sifatnya.
Tetapi dalam sidang media di Kerdau beberapa hari lalu, kepimpinan PAS Pahang yakin bahawa BN dan PH tidak akan bekerjasama berdepan mereka di negeri itu.
Evolusi pelapis
Abdul Hadi yang dilabel ahli politik konservatif dilihat terus dengan ‘kekerasannya’ yang dituju kepada musuh-musuh PAS. Dia mempamerkan ketegasan parti kepada musuh dengan begitu tajam.
Pemimpin yang mencecah usia 76 itu kini memperlihatkan kelelahan panjang, batang tubuh yang menjadi presiden sejak 2003 itu barang kali menunggu waktu sesuai untuk berundur.
Namun semangatnya tetap kental, sejak menjadi fenomena di penghujung tahun 1980-an Abdul Hadi boleh dikatakan konsisten pada sikapnya dan tidak pernah berhenti berpolitik.
Ahli Parlimen Marang itu masih mampu berdiri dan berucap panjang di pentas utama, walaupun boleh menyebabkan sesetengah orang (bukan penyokong PAS) yang tidak sabar akan menguap berkali-kali.
Sosok bekas Menteri Besar Terengganu itu pastinya sukar dicari ganti, bahkan kini belum terserlah seorang pemimpin berlatar belakang agamawan yang boleh menjadi fenomena baru di kalangan kepimpinan.
Pada mesyuarat agung tahun kali ini, PAS begitu memberi penekanan terhadap aspek pengkaderan pemimpin pelapis.
Beberapa pemimpin PAS tampil menyeru usaha pengkaderan pelapis dilakukan dengan lebih berkesan, termasuk melalui saluran awal dari bangku-bangku sekolah lagi.
Sudah tentu parti itu mempunyai kelebihan dalam melahirkan bakat-bakat pemimpin muda, malah sudah dibuktikan usaha terdahulu berjaya menempatkan barisan pemuda di posisi wakil rakyat.
Namun, walaupun kemunculan wakil rakyat PAS di kalangan orang muda semakin ramai, setakat ini masih belum kelihatan bayangan seorang yang boleh dijangka bakal menjadi pemimpin nombor satu PAS suatu masa kelak.
Justeru, tidak ada masalah juga sebenarnya jika bukan seseorang di kalangan agamawan diangkat sebagai presiden PAS nanti - selagi mana ia berpengaruh dan berpegang teguh pada dasar dan prinsip parti itu sendiri.
Keadaan itu adalah transisi biasa yang dialami mana-mana organisasi sekali pun - sentiasa ada pasang surut dalam pelbagai aspek, dan hanya waktu yang menentukan kesannya. Wallahua’lam.
N FAIZAL GHAZALI ialah wartawan Malaysiakini yang sebelum ini bertugas di Kelantan selama hampir enam tahun, kini dia kembali ke Lembah Klang sambil menanti PAS di Putrajaya.
Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian Malaysiakini.
RM12.50 / bulan
- Akses tanpa had kepada kewartawanan yang memenangi anugerah
- Berikan komen dan kongsi pendapat anda tentang semua artikel kami
- Hadiahkan cerita-cerita menarik kepada rakan-rakan anda
- Potongan cukai