Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah sebulan diterbitkan

ULASAN | Alternatif selain wajibkan lesen untuk media sosial

ULASAN | Baru-baru ini, Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) mengumumkan arahan mewajibkan syarikat media sosial yang mempunyai lebih 8 juta pengguna untuk mendaftar lesen bagi beroperasi di negara ini.

Langkah tersebut - walaupun dikatakan bertujuan untuk mengawal penyebaran maklumat palsu, mencegah jenayah siber, dan melindungi pengguna - menimbulkan kebimbangan yang serius dalam kalangan pengamal kebebasan bersuara dan organisasi hak asasi manusia.

Terdapat kebimbangan bahawa langkah kerajaan itu akan membuka jalan kepada penapisan yang tidak terkawal, seterusnya menindas kebebasan bersuara di Malaysia.

Keperluan pelesenan boleh digunakan sebagai alat untuk mengawal naratif awam, menindas pendapat yang berbeza, dan menyekat perbincangan terbuka mengenai isu-isu yang penting kepada rakyat.

Ia bukan sahaja bertentangan dengan prinsip demokrasi, bahkan berisiko merendahkan kedudukan Malaysia dalam indeks kebebasan media global.

Jika dilihat kerajaan India memperkenalkan peraturan yang memerlukan platform media sosial mematuhi undang-undang tempatan, termasuk mengeluarkan kandungan tertentu dan kerjasama dengan penguatkuasa undang-undang.

Langkah itu mencetuskan perdebatan tentang keseimbangan di antara peraturan dan penapisan.

Beijing pula telah lama memerlukan platform media sosial mendapatkan lesen dan mematuhi peraturan kandungan yang ketat.

Langkah itu membawa kepada ruang digital yang sangat terkawal apabila platform seperti WeChat dan Weibo dipantau dengan teliti oleh kerajaan.

Kes kebocoran data merisaukan

Keperluan pelesenan berisiko besar membawa kepada kuasa berlebihan kepada pihak berkuasa. Justeru kita perlu berwaspada terhadap sebarang polisi yang boleh membuka ruang kepada penindasan idea dan pendapat yang sah.

Lebih-lebih lagi jika pelaksanaan polisi tersebut tidak dikendalikan dengan telus lalu ia boleh mengundang penyalahgunaan kuasa, dan akhirnya merosakkan integriti demokrasi di negara kita.

Selain itu, terdapat juga kebimbangan terhadap kebocoran data yang mungkin meningkat dengan adanya keperluan pelesenan. Sekiranya syarikat media sosial diwajibkan untuk berkongsi maklumat sensitif dengan pihak berkuasa, risiko kebocoran data menjadi lebih besar.

Jika pelesenan memerlukan platform media sosial menyimpan data pengguna secara setempat (lokalisasi data) atau memberikan kerajaan akses kepada data pengguna untuk tujuan pemantauan atau penguatkuasaan undang-undang, ia boleh meningkatkan risiko pencerobohan data.

Kerajaan mungkin tidak sentiasa mempunyai tahap protokol keselamatan yang sama seperti syarikat swasta, dan pangkalan data mereka mungkin lebih terdedah kepada penggodaman.

Berdasarkan laporan Surfshark pada 2023, Malaysia disenaraikan sebagai negara kelapan paling banyak kebocoran maklumat pada suku ketiga tahun berkenaan dengan 494,699 kes dikesan.

Kadar kebocoran itu adalah 144 peratus lebih tinggi berbanding pada suku kedua 2023, dan sekitar empat akaun pengguna Malaysia bocor setiap minit pada suku ketiga tahun yang sama.

Dalam era digital yang semakin kompleks, kebocoran data boleh membawa kesan buruk yang signifikan, termasuk pendedahan maklumat peribadi pengguna dan acaman terhadap keselamatan kewangan mereka.

Daripada mewajibkan pelesenan yang boleh membantutkan kebebasan bersuara dan menimbulkan masalah lain, terdapat alternatif yang lebih praktikal dan seimbang, iaitu pengawalan kendiri.

Perlu dinilai semula

Model ini terbukti berjaya di beberapa negara yang mengutamakan kebebasan bersuara dan perlindungan privasi pengguna.

Antaranya Akta Perkhidmatan Digital (DSA) Kesatuan Eropah sering dirujuk sebagai pendekatan yang lebih sesuai untuk mengawal selia platform media sosial berbanding pelesenan.

DSA menekankan ketelusan dalam cara platform beroperasi, terutamanya dalam cara mereka mengawal kandungan dan menggunakan algoritma.

Apabila platform telus tentang dasar pengawalan kandungan dan proses membuat keputusan mereka, DSA meningkatkan kepercayaan pengguna tanpa perlu mengenakan pelesenan.

Selain itu, DSA juga menggalakkan platform untuk mengawal selia sendiri dengan melaksanakan amalan pengawalan kandungan mereka sendiri dan mematuhi kod kelakuan sukarela.

Pendekatan ini kurang preskriptif berbanding pelesenan dan membolehkan platform membangunkan penyelesaian yang disesuaikan dengan komuniti dan model perniagaan khusus mereka.

Langkah ini mampu memastikan kebebasan bersuara tidak dikompromi, dan pada masa yang sama tetap melindungi pengguna daripada kandungan yang berbahaya.

Penting juga untuk ditekankan, DSA dibina dengan berlandaskan perlindungan hak asasi, termasuk kebebasan bersuara dan privasi.

Gambar hiasan

DSA berusaha untuk melindungi hak-hak tersebut sambil menangani kandungan berbahaya melalui rangka kerja kawal selia yang menghormati prinsip demokrasi dan kedaulatan undang-undang.

Pelesenan - sebaliknya - boleh menimbulkan risiko kepada hak tersebut dengan memberi kerajaan terlalu banyak kawalan ke atas ucapan dalam talian.

MCMC dan Putrajaya perlu menilai semula keperluan pelesenan ke atas syarikat pengendali media sosial.

Sebarang langkah kawal selia haruslah seimbang di antara keselamatan awam dan perlindungan kebebasan individu, terutamanya kebebasan bersuara dan privasi.

Pengawalan kendiri yang dipimpin oleh industri, dengan panduan jelas dari kerajaan, boleh menjadi jalan tengah yang lebih berkesan.

Proses dialog yang inklusif dan telus dengan semua pihak berkepentingan adalah penting untuk memastikan polisi yang dihasilkan bukan sahaja melindungi keselamatan digital, tetapi juga selaras dengan nilai-nilai demokrasi dan hak asasi manusia yang kita junjung tinggi.

Dalam menghadapi cabaran dunia digital yang semakin kompleks, Malaysia memerlukan dasar yang bukan sahaja melindungi, tetapi juga memperkasa rakyatnya untuk bersuara dan berinovasi tanpa takut akan penindasan.


TARMIZI ANUWAR ialah anggota sekutu Malaysia di Pusat Pilihan Pengguna.

Tulisan ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pendirian Malaysiakini.