Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 3 bulan diterbitkan

ULASAN | Syed Husin Ali dan perjuangan keadilan sosial

Minggu lalu, pada Khamis, 8 Ogos, ada bicara awam memperingati allahyarham Dr Syed Husin Ali di Shah Alam. Kebetulan hari berkenaan genaplah 40 hari kepergiannya ke rahmatullah.

Buku beliau, “Dua Wajah” dijadikan asas kepada perbincangan, yakni catatannya kala ditahan di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) selama hampir enam tahun: 1974-80.

Di bawah ISA, sesiapa pun boleh ditahan tanpa pengadilan mahkamah. Walaupun diwujudkan Lembaga Rayuan untuk mempertimbangkan keputusan membebaskan tahanan, namun kuasa muthlak tetap di dalam tangan Menteri Keselamatan Dalam Negeri (KDN).

Untuk mengatakan ISA undang-undang warisan langsung penjajah, itu tidak tepat. Ia digubal pada 1960—tiga tahun selepas Malaysia merdeka—dengan kecenderungan dan niat oleh elit pemimpin demi menjaga kuasa, dan menindas watan yang lain.

Bagi generasi hari ini, mereka tidak merasakan bagaimana akta berkenaan digunakan sebagai perkakas politik—bukan sahaja untuk mematikan suara yang bertentangan, tapi juga membunuh rakan pesaing di dalam parti yang berkuasa itu sendiri, khususnya Umno.

Begitulah nasib Syed Husin muda, ketika usia beliau berada pada tahap paling produktif di hujung 30-an sehingga awal 40-an, sayangnya dia dipenjarakan. Ada nama-nama lain yang memang tidak pernah kita dengar dalam arena politik tanah air, semisal Aladin dan bapanya. Rata-rata yang ditahan adalah dengan tuduhan menyokong gerila komunis, termasuk membekalkan makanan di kawasan sempadan Kelantan-Thailand.

Siksaan di dalam ISA amat ngeri dan memedihkan. Ada yang dikurung di dalam bilik siksaan, dipukul dan dimalukan, dipandang sebagai cetek atau tidak mempercayai agama, sehinggalah dibiarkan menderita akibat kanser.

Doktor di dalam kem hanya memberikan pil seumpama panadol. Diyakinkan pesakit tiada sakit. Sedangkan seraya organisasi antarabangsa membuat pemeriksaan dan desakan, barulah tahanan dibawa ke hospital sebelum disahkan mengalami penyakit berbahaya dan kronik.

Di negara mana pun, dan kepada bangsa apa pun; demokrasi, kebebasan dan hak asasi rakyat tidak terjamin bisa terus subur dan dihormati. Keadaan ini samalah seperti tiada jaminan bahawa tamadun yang besar bisa terus bertahan.

Lihatlah kepada sejarah Islam. Di suatu ketika, tamadun Muslim unggul di wilayah Arab, apatah lagi di Madinah. Sementara wujud intrik dan penindasan sesama Muslim—dengan tiga daripada khalifah al-rasyidin dibunuh—lantas tamadun Muslim beralih dan muncul di wilayah lain seperti di Asia Tengah, Afrika Utara bahkan sampai ke Sepanyol dan Kustantiniyah.

Sepertimana penjelasan seorang intelektual German-Amerika, Hannah Arendt, tujuan politik ialah bagi memastikan tamadun berkesinambungan. Selepas era kolonial, memperjuangkan keadilan sosial mengambil posisi penting. Sosok seperti Syed Husin amat menginsafi bahawa kemerdekaan yang diperjuangkan oleh generasi terdahulu akan sia-sia tanpa wujudnya keadilan sosial dan mempertahankan daulat rakyat.

Ketika dia diminta mengaku sebagai simpatisan komunis, berfahaman sosialisme dan menjalankan kerja-kerja subversif bagi menentang pemerintah, Syed Husin tegar menafikannya. Beliau memilih untuk tidak menantangani surat pembebasan bersyarat kerana menolak semua tuduhan itu.

Istilah seperti “komunisme” dan “sosialisme” dijadikan penanggal yang bergentayangan untuk menakut-nakutkan rakyat—khususnya orang-orang Melayu.

Keadaan sedemikian sama sahaja dengan helah segelintir polikus lapuk hari ini yang terus menakutkan orang-orang Melayu-Islam dengan istilah seperti “liberalisme” dan “pruralisme,” tanpa mereka dapat menjelaskan maksud sebenar istilah-istilah itu!

Ada pula ustaz selebriti yang merujuk makna liberalisme dan pruralisme hanya di Wikipedia, tanpa rujukan kepada buku atau sumber asal.

Selain Syed Husin, hampir kesemua para tahanan ISA lain termasuk Anwar Ibrahim, Adi Satria, Ibrahim Ali, Kamaruzaman Yaakob misalnya telah ditawarkan pembebasan bersyarat, tidak dibenarkan aktif politik, dan mengakui semua tuduhan ada benar.

Diceritakan juga, Menteri KDN ketika itu turut berusaha mengeksplotasi para tahanan bagi membunuh karier rakan separti. Sebagai contoh, Syed Husin pernah dipaksa mengakui yang Dr Mahathir Mohamad terlibat dengan “gerakan bawah tanah.” Tujuan helah itu tidak lain kerana Menteri KDN tersebut bercita-cita untuk menjadi perdana menteri.

Mahathir bukanlah orang yang dikenali atau rapat dengan Syed Husin. Dengan sifat lelaki berbudi pekerti (gentleman), Syed Husin menolak melakukan pengkhianatan, selain tidak mahu terjerat dengan intrik politik bangsawan Umno.

Selepas tamat pengajian di Universiti Malaya Singapura, Syed Husin melanjutkan pengajian di London School of Economy (LSE), UK. Saya yakin latar berkenaan yang juga memperlihatkan wujud gerakan perubahan di Eropah selepas Perang Dunia ke-II sedikit-sebanyak mempengaruhi banyak ahli akademik seluruh dunia.

Apa yang berlaku di Perancis pada penghujung 1960-an ialah peristiwa yang dikenali “May Movement” yang dicetuskan oleh tenaga akademik, mahasiswa dan kaum pekerja. “May Movement” turut dipanggil sebagai “The Movement” sahaja.

Selain dikatakan cuba melakukan revolusi ke-2 di Perancis, Gerakan itu gabungan turut mengkritik subjek yang diajar di universiti sebagai “dead knowledge”—pengetahuan yang mati, yang tidak berfaedah kepada masyarakat.

Gerakan Mei turut mengenal pasti hal-hal seperti birokrasi, faham sosialisme utopia, komunisme dan kediktatoran yang menggantikan monarki muthlak seperti di ada pertengahan hanya penghalang perubahan dan punca ketidakadilan.

Sewaktu kecil, sewaktu saya di kampung pun memang selalu mendengar istilah “orang pergerakan”—sejenis gelaran yang saya tidak faham benar daripada mana puncanya. Pun begitu, kata nama itulah yang membezakan seorang ahli politik biasa yang selalunya punya nafsu kekuasaan yang membuak-buak; berbanding seseorang yang juga terlibat dengan politik, tapi mempunyai idealisme, berilmu dan gigih mahu mengubah masyarakatnya.

Hari ini, oleh kerana ramainya yang bersaing di ladang kekuasaan merupakan orang politik yang rendah moral, tidak berkualiti dan jahat, maka istilah “orang pergerakan” seakan tidak kedengaran atau amat jarang dipakai.

Bukan rahsia lagi di mana pak-pak menteri, menteri besar sampai ke ahli-ahli majlis yang memperolehi keuntungan lebih daripada masyarakat yang kononnya ingin dibela. Bentuk orang politik itu tidak lain persis yang pernah digambarkan oleh Usman Awang sebagai “ahli politik padang golf,” atau bertaraf wisatawan (“tourist”) politik semata.

Sepanjang hampir enam tahun di balik tembok besi dan batu, Sabariah, yakni isteri Syed Husin yang juga seorang guru, tidak pernah menitiskan air mata. Dia cekal berulang-pergi menghabiskan wang dan masa dari Petaling Jaya ke Kemunting untuk melawat sang suami.

Selepas Syed Husin bebas serta menyatakan kepiluannya tidak dapat melihat si anak, Ali dan Alia mendewasa, serta kedua anaknya yang kekok untuk tidur atau bersama santap di meja makan, sekali itu Sabariah menangis. Dan al-fatihah bagi kedua pasangan pecinta ini.

Saya tetap bersyukur—namun bercampur malu—apabila diundang oleh Ahli Dewan Negeri Kota Anggerik, Najwan Halimi bagi membicarakan tokoh utama Parti Rakyat dan Keadilan ini.

Meski ia bukan acara yang dianjurkan mana-mana universiti, apa-apa persatuan penulis, badan bahasa, TV kerajaan mahupun parti politik perdana, kita perlu tetap optimis dan berharap agar kehidupan kebangsaan kita tidak lekas angkuh dengan manusia-manusia yang tidak tahu kenal diuntung. Setiap nikmat sekarang tentu dengan lelas-luka masa lalu.


HASMI HASHIM atau Budi Hekayat seorang penulis lirik dan otai komuniti Jalan Telawi.

Artikel ini pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pendirian sidang redaksi Malaysiakini.