Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 2 bulan diterbitkan

ULASAN | Propaganda bukan lagi milik pemerintah

ULASAN | Dalam satu koleksi temu bual yang dikendalikan oleh seorang penulis dan pengasas Alternative Radio di Amerika Syarikat David Barsamian, cendekiawan Noam Chomsky ada melontarkan pandangannya berkenaan perkaitan rapat antara propaganda dengan pemerintah.

Pandangan itu boleh didapati dalam temu bual yang dibukukan pada tahun 2001, dengan judul Propaganda and The Public Mind.

Agensi serta institusi pemerintah yang membentuk pemikiran masyarakat melalui kuasa dan perkhidmatan seperti peningkatan kuasa ketenteraan Amerika Syarikat di Colombia, pemulihan keselamatan sosial yang lebih inklusif, kebangkitan organisasi penyelenggaraan kesihatan (HMO) berasaskan keuntungan, serta ketidaksamaan yang semakin meluas dan meningkat di seluruh dunia.

Semua ini adalah elemen propaganda yang terkait langsung antara pemerintah dan rakyat. Namun idea dan pandangan Chomsky dalam temu bual yang panjang dan mendalam itu cuba menekankan bahawa bagaimana rakyat biasa, jika mereka bersatu dan bekerjasama serta mempunyai sesuatu yang disebutnya sebagai ‘kuasa’, pasti mampu membuat perubahan-perubahan yang besar dan bermakna. Chomsky percaya kuasa itu adalah propaganda.

Struktur penting propaganda seperti media milik pengusaha kaya yang kekal kukuh dalam sistem pasaran adalah perniagaan yang bermatlamatkan keuntungan. Mereka ini selain sebahagian besarnya dibiaya oleh pengiklan - yang juga entiti pencari keuntungan - sangat bergantung kepada pemerintah yang memegang kuasa.

Simbiosis kedua-duanya yang hidup dalam ekosistem politik kuasa dan keuntungan besar perniagaan informasi serta maklumat menjadikan mereka rakan kerjasama strategi yang saling memerlukan. Matlamat, pertimbangan dan kepentingan politik yang sama menjadikan mereka sinergi mesin penguasa yang sangat memberikan kesan.

Noam Chomsky

Chomsky juga percaya tradisi penguasa menekan media yang tidak sehaluan sudah pasti akan memberikan penguasa banyak kelebihan atas pengaruh kuasa yang mereka ada.

Berbalik kepada temu bual Propaganda and The Public Mind. Soalan-soalan Barsamian kepada Chomsky yang dibuat selepas insiden Battle of Seattle pada tahun 1999 itu banyak sekali menyentuh peristiwa-peristiwa sejarah serta pelbagai kegawatan dan keresahan isu semasa, khususnya dalam konteks Amerika dalam rangka pemikiran propaganda pemerintah.

Sungguhpun Chomsky ada membincangkan prospek pembinaan gerakan-gerakan yang mampu mencabar penguasaan propaganda media korporat yang sangat berkuasa, namun dia tetap merumuskan propaganda adalah milik pemerintah.

Namun apa yang berlaku di Sungai Bakap telah menceritakan sesuatu yang disebaliknya. Ia sama sekali berbeza daripada apa yang Chomsky percaya iaitu propaganda adalah milik pemerintah.

PRK Sungai Bakap telah menunjukkan peratusan undi PN meningkat daripada 52.7 peratus pada PRN tahun lalu kepada 58.6 peritus, berbanding undi PH yang ketara merosot daripada 47.3 peratus kepada 41.4 peratus.

Pada setiap pilihan raya yang diadakan, pasti ada aktiviti-aktiviti propaganda seperti kempen rumah ke rumah, perarakan sewaktu penamaan calon dan persembahan pentas seperti ceramah kelompok dan ceramah mega.

Malahan sukan, bantuan rumah dan majlis pengkebumian juga turut menjadi sebahagian daripada kegiatan propaganda yang sering saya sebut harus dimanfaatkan dalam kuliah-kuliah propaganda yang saya adakan.

Bagaimanapun apa yang lebih penting adalah bagaimana cara dan kaedah semua aktiviti itu digunakan secara cerdik dan bijak, bukan saja untuk menarik perhatian, tetapi agar dapat memberikan suatu rasa dan kesan emosi terhadap rakyat.

Daripada pengamatan saya sepanjang memerhati PRK Sungai Bakap, pasukan yang menguasai naratif propaganda akan berjaya di lapangan. Beberapa poin yang menjadi hujah yang dijual oleh pihak pembangkang di Sungai Bakap berkenaan ekonomi, seperti kos sara hidup yang meningkat, saya lihat berkesan dan berjaya.

Saya melihat ada beberapa kelemahan dalam ketelitian, strategi dan perancangan menguruskan agenda propaganda. Pasukan propaganda pemerintah seperti hilang punca gagal memahami sensitiviti lapangan. Disaat emosi terjentik kerana kos sara hidup ditambah lagi dengan label seperti 'bahlol' dan 'bodoh', ia seperti mencurah minyak ke api.

Kecerdikan pembangkang adalah memanfaatkan insiden-insiden kecil. Mereka pintar membeli jiwa dengan menonjolkan pemimpin popular mereka bermain sukan tradisional masyarakat India sebagai iodin sementara luka yang dibuat pemerintah. Rakyat rasa mereka diperjuangkan walaupun kita tahu ia hanya sebahagian daripada kegiatan propaganda ketika kempen pilihan raya.

Sebab itu saya katakan, apa yang disebutkan dan disimpulkan Chomsky bahawa propaganda adalah milik pemerintah sama sekali tidak berlaku di Sungai Bakap.

Sungai Bakap adalah bukti bahawa propaganda juga adalah milik kumpulan yang diperintah seperti parti pembangkang, persatuan, NGO, peniaga dan rakyat marhaen.

Pandangan Chomsky berpandukan bahawa kuasa kerajaan boleh menyekat dan mengawal media. Realiti sekarang ialah setiap individu adalah pemilik media sosial. Sifat media sosial dengan penuh keterbukaan, saling berhubung, menggerak komuniti, interaksi dan partisipasi mendorong suatu naratif mengalir seperti air terusan. Di Sungai Bakap ternyata pembangkang berjaya.

Kejayaan itu tidak semestinya bermakna apa yang dikatakan oleh mereka itu benar. Namun ia dimainkan melalui pendekatan bentuk propaganda berfakta yang diemosikan dengan mengapi-apikan rasa marah terhadap kenaikan harga diesel, inflasi dan kehidupan yang rakyat lihat semakin menghimpit dan membebankan.

Lantas apabila agenda melawan propaganda itu tidak dicipta dan dijalankan secara bijak, maka di Sungai Bakap kita menyaksikan bahawa propaganda bukan pemilik pemerintah.


BUDIMAN MOHD ZOHDI ialah penasihat SLR Institute. Dia bergiat aktif dalam penyelidikan propaganda dan penjenamaan politik. Dia juga bekas ahli parlimen Sungai Besar.

Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian Malaysiakini.