Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 4 bulan diterbitkan

ULASAN | Kekalahan PH-BN di Sungai Bakap sudah diduga?

ULASAN | Dengan kekalahan calon PH/BN dalam PRK DUN Sungai Bakap, ada pihak mula mempersoalkan tahap kekuatan perpaduan dalam Kerajaan Perpaduan, antara PH dan BN. Adakah perpaduan itu kukuh atau rapuh?

Pelbagai teori yang dikemukakan bagi menjustifikasikan kekalahan calon PH/BN tersebut. Rasanya lebih elok kita melihat kepada komentar daripada pemimpin PH sendiri.

Ketua Menteri Pulau Pinang Chow Kon Yeow misalnya menyifatkan kekalahan tersebut kerana kekalahan naratif. Beliau berhujah bahawa kekalahan PH/BN kali ini, dan kemerosotan undi daripada pengundi Cina secara khusus, adalah disebabkan oleh pelbagai isu nasional seperti subsidi, persepsi inflasi, kos sara hidup dan beban rakyat yang perlu mereka hadapi.

Seorang pemimpin Umno pula menganggap antara punca kekalahan calon PH/BN tersebut disebabkan faktor Najib. Pemimpin itu berhujah bahawa berdasarkan perkiraan ahli Umno dan simpatisan Najib, selagi dia didakwa dinafikan hak dan perbicaraan adil, sokongan para pengundi Melayu tidak akan pulih.

Pemimpin Umno yang sama itu mengingatkan para pemimpin PH/BN agar jangan memberi banyak alasan dan formula bagi menjustifikasi kekalahan tersebut. Beliau juga berpendapat kekalahan itu secara substantifnya kerana rakyat tidak puas hati dengan kerajaan Madani dan “defisit keyakinan” juga telah kembali. Beliau juga menyifatkan beberapa keputusan dan tindak-tanduk kerajaan selepas PRK Kuala Kubu Bharu menjadi bola tanggung pihak PN.

Ada juga pemimpin Umno yang berkomentar di facebook dengan lantang menyalahkan pemimpin PKR tertentu yang dianggap mengeluarkan kenyataan yang tidak bijak lalu membawa kekalahan calon PKR di Sungai Bakap.

Agak menarik juga media melaporkan ada pemimpin DAP yang memaklumkan reaksi sebahagian daripada pengundi cina di luar Sungai Bakap yang kelihatannya amat gembira dengan kekalahan calon PH/BN sehingga mereka bertepuk tangan apabila diberitahu keputusan pilihan raya kecil tersebut.

Sebelum saya mengulas lanjut isu ini, saya harus tidak kedekut untuk mengucapkan tahniah kepada PAS kerana bukan sahaja parti itu berjaya mempertahankan kerusi Sungai Bakap, tetapi juga berjaya memperolehi majoriti yang agak selesa iaitu 4,267 undi.

Analisis sepintas lalu menunjukkan peratusan undi dimenangi PAS meningkat daripada 52.7 peratus pada pilihan raya negeri tahun lalu kepada 58.6 peratus pada PRK kali ini. Undi PH sebaliknya merosot agak signifikan daripada 47.3 peratus kepada 41.4 peratus.

Dalam mana-mana pilihan raya, ada pelbagai faktor yang menentukan kemenangan dan kekalahan sesuatu parti yang bertanding. Antara faktor tersebut adalah strategi berkempen. Saya rasa strategi kempen PAS/PN dalam PRK ini agak berkesan dalam mempengaruhi para pengundi memilih parti tersebut.

Meskipun ada pemimpin PKR yang mendakwa PAS dan PN memainkan isu perkauman, tuduhan itu begitu mudah ditangkis oleh PAS dengan menjawab seperti berikut: “Adakah anda (PH) mengalami sindrom amnesia (pelupa)? Tidakkah anda sedar bahawa parti yang menjadi juara bertahan isu perkauman kini sedang bersama anda dalam kerajaan Madani ?” Agaknya mungkin presiden Amanah juga bersetuju dengan hujah PAS itu.

Secara kebetulan memang wujud dasar dan tindak tanduk Kerajaan Madani yang ibarat memberi bola tanggung kepada PAS/PN untuk “smash” tepat ke arah gelanggang dan “smash” tersebut berjaya mematikan pergerakan lawan.

Dalam politik - khususnya politik tanah air - ada satu isu yang semua parti politik sama sekali tidak boleh pandang ringan . Ia ibarat “zon larangan" yang tiada parti boleh memasukinya.

Apakah isu tersebut? Jawapannya adalah isu bebanan kos sara hidup rakyat. Sama ada kerajaan Madani suka atau tidak, peduli atau tidak, menerima atau tidak, mengaku atau tidak, isu bebanan kos sara hidup memang wujud dan begitu mencengkam rakyat. Saya sendiri dapat merasakan hal tersebut, apatah lagi rakyat di bawah.

Isu kenaikan harga diesel secara mendadak bukan sahaja dikritik oleh setengah ahli ekonomi, malahan rakyat kelihatannya begitu marah sekali. Justifikasi yang cuba diberikan oleh pihak kerajaan Madani, bagi saya, tidak begitu diterima oleh rakyat.

Ya, mungkin sahaja isu penyelarasan subsidi diesel boleh memberi kesan positif kepada isu penarafan atau rating untuk kerajaan tetapi bagi rakyat di bawah, rating sangat tidak relevan apabila mereka terbeban dengan kenaikan kos sara hidup. Bagi rakyat, kerajaan kena jaga kepentingan mereka.

Apabila Perdana Menteri Anwar Ibrahim cuba menjustifikasi isu penyelarasan harga diesel yang membawa kenaikan harga diesel tersebut dengan alasan para perdana menteri sebelumnya memang berhasrat melakukan hal yang sama tetapi takut, saya dapati kenyataan Anwar dijawab dengan agak baik oleh Tun Dr Mahathir Mohamad yang menyatakan “bukan kami takut, tapi kami peduli dan simpati dengan rakyat”.

Suka atau tidak, saya dapat rasakan rakyat lebih cenderung bersetuju dengan Dr Mahathir dan ia kelihatan terbukti benar, paling kurang di Sungai Bakap.

Dengan hormat, saya ingin menyatakan naratif kerajaan Madani berhubung isu kenaikan harga diesel tidak begitu meyakinkan dan kadang kala mesej yang disampaikan juga tidak jelas dan mengelirukan.

Ya, para tentera siber PH kelihatan berpesta mengkritik pedas kenyataan salah seorang pemimpin tertinggi PAS dalam sebuah ceramah mengenai anekdot keluhan orang kampung yang menggunakan motosikal dan dikaitkan dengan penggunaan diesel. Mungkin kritikan itu agak adil tetapi dari sudut lain kita dapat melihat betapa isu ini menjadi antara isu besar dan dominan di Sungai Bakap.

Apabila ada menteri khususnya dari PH yang memberi amaran agar jangan ada pihak yang cuba menaikkan harga barangan ekoran penyelarasan subsidi, amaran sebegitu dilihat tidak munasabah dan juga tidak logik.

Anda tidak perlu menjadi ahli ekonomi untuk memahami bahawa kenaikan harga diesel yang begitu tinggi sudah pasti akan mempengaruhi harga barangan dan harga perkhidmatan atas faktor “spillover effect”. Realitinya, harga barangan memang naik kerana kenaikan harga diesel yang begitu tinggi.

Para pemimpin PH/BN khususnya, menteri dan timbalan mereka, maaf cakap, kelihatan begitu terpisah dengan rakyat, antara mereka seperti langit dan bumi apabila isu ini timbul.

Saya masih ingat bagaimana sebelum ini ramai pemimpin PH sering memperlekeh hujah para pemimpin BN dan Umno, khususnya apabila mereka cuba mempertahankan dasar dan keputusan Kerajaan BN satu ketika dulu.

Malangnya, ramai kini melihat pemimpin PH seperti dijangkiti sindrom yang sama, di mana mereka agak kerap memberi alasan-alasan “tidak cerdik”

apabila cuba mempertahankan keputusan kerajaan. Dan malangnya sindrom memberi hujah “tidak cerdik” juga terkena kepada para penyokong PH, khususnya para tentera siber mereka.

Ada pihak yang dengan secara bergurau memberitahu saya, “itulah, bila depa (pemimpin PH) berkawan dengan Umno, depa pun dah jadi 'sengal' macam Umno."


HANIPA MAIDIN berkelulusan LL.B dan LL.B (Shariah) dan pernah menjadi timbalan menteri undang-undang serta peguam litigasi selama hampir 25 tahun.

Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian Malaysiakini.