Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 6 bulan diterbitkan

ULASAN | Hukuman setimpal tangani buli yang tak berkesudahan

ULASAN | Kesucian bulan Ramadhan tahun ini dikejutkan oleh kematian menyayat hati seorang pelajar kolej vokasional di Sabah dengan kesan kecederaan di beberapa bahagian badan di bilik asramanya.

Hasil siasatan awal mendapati punca kejadian adalah disebabkan perselisihan faham antara mangsa dengan penghuni lain. Setakat ini, polis Lahad Datu menahan 13 orang pelajar lelaki bagi membantu siasatan.

Kes buli dan gangster dikalangan para pelajar bukanlah isu baru. Menjelang akhir tahun 2023, sebanyak 5,319 kes buli membabitkan murid sekolah telah direkodkan berdasarkan data Sistem Sahsiah Diri Murid (SSDM).

Negara mungkin masih ingat kes jenayah pegawai Kadet Laut Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM), Zulfarhan Osman Zulkarnain yang didera melalui tekapan seterika wap serta pukulan fizikal kerana dituduh mencuri komputer riba.

Arwah cedera parah akibat perbuatan tersebut dan meninggal dunia. Kes ini dilihat sebagai suatu insiden buli secara ekstrem di kalangan pelajar .

Rentetan itu, 18 penuntut UPNM didapati bersalah atas pertuduhan menyebabkan kematian tanpa niat membunuh dan mencederakan dan menerima hukuman masing-masing.

Selain dua peristiwa malang ini, ada lagi kisah kehilangan nyawa anak muda kerana kes buli. Antaranya Nhaveen, 18, dipukul dengan kejam oleh sekumpulan remaja termasuk pelajar tingkatan empat dan lima di Pulau Pinang. Dia meninggal dunia selepas lima hari koma.

Kematian dua anggota pasukan Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) di Sitiawan, Perak, dipercayai didera anggota sepasukannya pula menggambarkan gejala kes buli dan dera tidak terhad dalam lingkungan institusi pengajian sahaja.

Apabila kes buli ini semakin menjadi-jadi, semua pihak saling menuding jari menyalahkan satu sama lain. Pihak pengurusan sekolah dan warden antara pihak yang paling dipertanggungjawab dan berakauntabiliti apabila isu buli berlaku.

Mendiang Nhaveen

XSebagai ejen perubahan, mereka seharusnya mencorakkan kehidupan sosial yang sihat di sekolah biarpun pelajar sekolah ini datang dari pelbagai latar belakang dan akhlak berbeza.

Namun, semua sedia maklum, tugas warden sekolah sangat berat dan perlu banyak kesabaran tanpa mengira masa. Mereka dibebani dengan tugas mengajar ketika sesi persekolahan, mengurus hal ehwal kebajikan murid di asrama seperti urusan kesihatan, mengawal dan mendisiplinkan murid di asrama, menangani kes-kes disiplin dan menjadi ibubapa bagi pelajar di asrama.

Kadar elaun RM 300 sebulan yang mereka perolehi adalah tidak setimpal dan ada kala dipotong elaun perumahan jika menetap di kuarters guru. Malah ada guru yang terpaksa sukarela menjadi warden atas arahan pihak sekolah.

Sejujurnya, ibubapalah yang paling bertanggungjawab apabila isu buli ini dibangkitkan. Keprihatinan dan hubungan dengan anak-anak membantu dalam pembentukan sahsiah diri mereka.

Anak yang kurang kasih sayang atau perhatian akan memberikan tekanan kepada orang lain kerana tiada tempat mengadu dan ada masanya melepaskan tekanan itu dengan membuli pelajar lain.

Selain itu, sikap ibubapa masa kini yang tidak membenarkan pihak sekolah menghukum anak-anak yang bersalah menyebabkan anak-anak tidak takut untuk menjadi pembuli.

Sikap ibubapa yang toksik ini dan “selalu betul” menyebabkan menyebabkan anak-anak naik lemak, mengada-ngada dan berperangai negatif sehingga mereka besar nanti. Bak kata pepatah, masa jadi rebunglah perlu dilentur, jangan dinanti menjadi aur. Untuk mengatasi masalah buli, ibu bapa mesti memupuk nilai-nilai murni anak-anak sejak kecil lagi.

Dalam dunia teknologi yang serba canggih, ibu bapa perlu mengawal informasi tidak terkawal dari dunia siber. Pengaruh televisyen dan media sosial turut mendorong si pelaku membuli orang lain yang dirasakan lebih lemah daripada mereka. Maka kandungan siber dari internet berkaitan buli yang menunjukkan keganasan melampau harus dihentikan bagi mengelak anak mudah terpengaruh.

Hakikatnya kejadian buli ini tiada penghujungnya, tanpa sebarang penyelesaian. Malah ia dilihat semakin menjadi-jadi dan bertambah serius di sebalik pelbagai usaha oleh kerajaan dan NGO.

Pembuli terus berasa bangga dengan perbuatan mereka jika mereka tidak menerima hukuman yang keras dari pihak sekolah. Bagi hukuman sekadar kena gantung asrama, dimarah, diberi amaran atau dibuang sekolah tidak langsung membawa kesakitan pada tubuh badan pembuli dan tidak mengubah perasaan bongkak mereka dengan perbuatan itu.

Hukuman sedemikian tidak sekali-kali menyakitkan tubuh badan mereka sepertimana yang dialami oleh mangsa mereka. Perasaan “terselamat” akan medorong mereka untuk mengulanginya semula pada masa akan datang.

Pesalah bawah umur yang dihukum dengan dihantar ke sekolah juvana sebenarnya tidak cukup berat maka kerajaan perlu mencari satu kaedah bagi memastikan mereka yang membuli fikir banyak kali kerana takut dengan hukumannya.

Ada yang menyarankan Kementerian Pendidikan mewujudkan jawatan khas warden asrama - seperti warden penjara - di mana tugas mereka 100 peratus tertumpu kepada pentadbiran dan pengurusan asrama sahaja.

Mereka yang asalnya daripada pasukan beruniform dan terlatih seperti daripada kalangan askar pencen ataupun polis tentunya dapat membentuk disiplin pelajar. Warden berkenaan perlulah mendiami sepenuh masa asrama serta mempunyai pelbagai kebolehan termasuk mampu mengadaptasi kemahiran sistem pengesanan awal yang membolehkan kes buli dicegah.

Pihak sekolah yang menyembunyikan kes buli perlu dikenakan tindakan tatatertib yang keras untuk memastikan suasana pengajaran dan pembelajaran terus berjalan lancar. Sebagai agen yang paling dekat dengan pelajar, sekolah perlu memberi pendekatan menyeluruh seperti kaunseling, agama, psikologi, bimbingan dan psikiatri kepada para pelajar.

Pemasangan kamera litar tertutup (CCTV) di sekolah yang dikategorikan ‘sekolah berisiko tinggi’ yang dilaksanakan di Selangor berjaya mengurangkan kes buli boleh diperluas di asrama-asrama seluruh negara. Walaupun tindakan ini ada kontranya, sekurang-kurangnya pembuli sedar tindakannya itu dirakam dan direkodkan.

Buli ini perlu dibendung. Alasan pelaku yang masih muda tidak boleh digunakan kerana ia menghalalkan sesuatu yang salah. Sudah sampai masanya hukuman jenayah kanak-kanak diperhalusi. Apabila berlaku kematian, itu sudah keterlaluan dan hukuman berat seperti penjara seumur hidup patut dikenakan jika sabit kesalahan.

Namun ada yang percaya pada usaha pemulihan berterusan perlu diutamakan berbanding sekadar hukuman, seperti kerja sosial yang dapat menginsafkan serta menerapkan sikap positif.

Kesimpulannya Kementerian Pendidikan perlu melihat isu ini demi kesejahteraan murid, ekosistem pembelajaran terurus dan sahsiah murid terbina dengan disiplin yang tinggi dan jatidiri.

Perbuatan buli sekiranya dibiarkan berlarutan dan tidak ditangani boleh berubah menjadi kes jenayah yang lebih ekstrem seperti yang pernah berlaku sebelum ini.

Trauma mangsa buli akan terus menghantui hidupnya. Sekalung takziah buat keluarga mangsa yang telah pergi. Jangan kes yang sama berlaku pada anak kita satu hari nanti.


ABDUL MUTALIB EMBONG dan NURUL AIN CHUA ABDULLAH adalah pensyarah kanan di Pusat Pendidikan Asas & Lanjutan (PPAL), Universiti Malaysia Terengganu.

Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian Malaysiakini.