Persatuan gesa Selangor selesaikan pertikaian tanah kuil Hindu
Persatuan Penganut Sri Vadakara Batra Kaliamman Selangor mahu kerajaan negeri mencari penyelesaian yang adil berhubung isu tanah tapak Kuil Vada Batra Raja Kaliamman di Bukit Cermin, Putra Heights, Subang Jaya.
Penasihat persatuan itu, Arun Dorasamy, berkata isu berkenaan sudah berlarutan sejak 1989, manakala kuil pula sudah bertapak di situ sejak sekian lama dan kini berdepan tindakan perobohan oleh pemilik baru tanah berkenaan.
Menurutnya Pejabat Tanah dan Daerah (PDT) Petaling sememangnya mengetahui isu tapak kuil tersebut dalam pertikaian dan ia dibincangkan di pelbagai peringkat agensi kerajaan negeri bersama jawatankuasa pengurusan kuil sejak 2012.
“Usaha yang lebih ketara diambil pada 2019 untuk pemindahan, tetapi tiada tapak yang sesuai dikenal pasti.
“Persoalan yang timbul ialah, mengapa PTD membenarkan pemindahaan hak milik tanah ketika pertikaian masih dibincangkan dan tiada penyelesaian yang munasabah dicapai oleh mana-mana pihak setakat ini?
“Pada masa sama kami juga telah membaik pulih bangunan kuil dengan persetujuan pemilik tanah sebelum ini,” katanya dalam memorandum yang diserahkan kepada pihak PTD Petaling hari ini.
Kira-kira 20 orang jawatankuasa pengurusan kuil dan penganut turut hadir dalam perjumpaan ringkas dengan wakil PTD Petaling.
Arun berkata, PTD sebelum ini memecahkan lot asal tanah tersebut kepada 10 lot berasingan walaupun mengetahui kewudufan kuil tersebut yang masih dalam pertikaian.
Seterusnya pada 1998, katanya, PTD memberikan hak milik tanah kepada sebuah syarikat sebagai pemilik tanah awal.
"Isu ini sudah lama boleh diselesaikan dengan efektif sekiranya PTD mengambil berat dan prihatin dengan tapal kuil ketika pecahan lot dibuat pada 1998.
“Ia amat tidak adil terhadap rumah ibadat bukan Islam khasnya kuil yang wujud sebelum merdeka lagi,” katanya.
Beri tempoh seminggu
Ketika ini, kata Arun, tanah tersebut menjadi hak kepada pemilik baru iaitu sebuah syarikat swasta yang lain.
Dakwa Arun, pemilik baru itu tidak pernah berurusan dengan mereka atau memberi peluang untuk berbincang.
Bahkan dakwanya lagi proses pindah milik dilakukan secara sulit dan terburu-buru menyebabkan mereka sangsi jika ada motif tertentu atau wujud unsur salah guna kuasa semasa proses tersebut.
“Ini adalah isu kepentingan awam yang harus ditangani secara berhemah dan bertanggungjawab oleh kerajaan negeri. Kami tidak mahu dan berharap dapat mengelak berlakunya insiden yang tidak diingini,” katanya.
Tambah Arun pihak kuil juga bersedia untuk membeli tanah tersebut namun tiada sebarang perbincangan dan tawaran dikemukakan.
Justeru, katanya, kini mereka berdepan risiko kuil tersebut dirobohkan selepas diminta berpindah oleh pemilik tanah tersebut.
Katanya persatuan tersebut juga memberikan tempoh seminggu kepada PTD Petaling untuk memberikan jawapan, atau mereka akan merujuk isu berkenaan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia.
Sementara itu Malaysiakini sedang cuba mendapatkan reaksi lanjut kerajaan negeri dan PDT Petaling berhubung isu berkenaan.
RM12.50 / bulan
- Akses tanpa had kepada kewartawanan yang memenangi anugerah
- Berikan komen dan kongsi pendapat anda tentang semua artikel kami
- Hadiahkan cerita-cerita menarik kepada rakan-rakan anda
- Potongan cukai