Lim patut jawab kenapa AS tolak Kamala - Puad
Keputusan pilihan raya presiden AS semalam mendorong pemimpin Umno, Puad Zarkashi untuk mengkritik Lim Kit Siang berhubung harapan kemungkinan adanya "Perdana Menteri bukan Melayu" yang dibuat oleh bekas pemimpin DAP itu pada tahun lalu.
Ahli Majlis Tertinggi Umno itu merujuk kepada majoriti negeri di AS yang menyokong Donald Trump berbanding calon Parti Demokrat Kamala Harris, seorang wanita keturunan peranakan kulit hitam dan Asia-Amerika.
"Wanita masih gagal dipilih untuk jadi Presiden Amerika setelah 248 tahun merdeka. Ikut sejarah, USA merdeka pada 4 Julai 1776. Apakah itu rasis dan diskriminasi gender?
"Pertama dia adalah wanita. Kedua, dia keturunan India-Jamaica. Lim Kit Siang boleh tolong jawab.
"Apabila Obama menang Presiden, Lim Kit Siang bertanya bila agaknya orang Cina boleh jadi PM di Malaysia. Sekarang dia kena tanya kenapa Kamala ditolak? Apakah dia ditolak kerana emak Kamala asal India dan dari Asia," soal Puad pada satu kenyataan hari ini.
Keputusan pilihan raya presiden AS semalam menunjukkan Trump, dari parti Republikan, memperoleh 277 undi elektoral untuk mengalahkan Harris yang mendapat 224.
Calon Republikan itu juga menang di negeri-negeri utama, termasuk North Carolina, Georgia, Pennsylvania, dan Wisconsin, serta negeri lain seperti Indiana, Kentucky, West Virginia, Florida, Tennessee, South Carolina, Oklahoma, Mississippi, Alabama, Arkansas, North Dakota, South Dakota, Wyoming, Nebraska, Louisiana, Ohio, Texas, Missouri, Utah, Montana, Kansas, Iowa, dan Idaho.
Tahun lalu, Lim mencetuskan kontroversi apabila dia bercakap tentang kemungkinan seorang bukan Melayu menjadi perdana menteri di Malaysia.
Bekas pengerusi DAP itu mengulas bagaimana Barack Obama, yang berketurunan Afrika-Amerika, dapat menjadi presiden AS setelah lebih 230 tahun negara itu ditubuhkan.
Sementara itu, Puad menyifatkan kenyataan Lim sebagai "tidak matang" kerana membangkitkan perkara yang "tidak boleh dipaksa".
"Bila Lim Kit Siang bangkit isu orang Cina jadi PM dia gelojoh dan tidak matang kerana membangkitkan perkara yang tidak boleh dipaksa.
"Perbandingan bukan isu. Kenapa Lim Kit Siang banding Amerika dengan Malaysia bıla Obama dipilih presiden Amerika?
"Dia patut banding Amerika dengan Indonesia, Pakistan dan India di mana wanita sudah jadi presiden. Sebab itu kaum dan gender jadi isu jika wujud diskriminasi.
"Ia bergantung kepada penerimaan rakyat negara itu. Seperti mana kerjasama Umno dan DAP," katanya lagi.
RM12.50 / bulan
- Akses tanpa had kepada kewartawanan yang memenangi anugerah
- Berikan komen dan kongsi pendapat anda tentang semua artikel kami
- Hadiahkan cerita-cerita menarik kepada rakan-rakan anda
- Potongan cukai