Logo Malaysiakini

'Keputusan kes 1MDB Najib bukti saya jalankan tugas tanpa niat jahat'


Tommy Thomas membangkitkan keputusan
prima facie ke atas bekas perdana menteri Najib Razak dalam kes 1MDB untuk mengukuhkan hujahnya bahawa dia melaksanakan tugas sebagai peguam negara sebelum ini tanpa niat jahat.

Dalam afidavit yang difailkan di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada Jumaat lalu, Thomas cuba menyokong permohonannya agar pesuruhjaya kehakiman Roz Mawar Rozain menarik diri daripada mendengar kes saman terhadapnya.

Roz mendengar saman yang difailkan bekas pengerusi Felda Shahrir Samad, yang mendakwa Thomas memberi lampu hijau untuk mendakwanya atas pertuduhan pengubahan wang haram berjumlah RM1 juta kerana dia adalah ahli Umno.

Shahrir kemudiannya dilepaskan dan dibebaskan daripada kes itu.

Thomas mendakwa Roz tidak akan dapat mengendalikan perbicaraan dengan adil memandangkan dia sebelum ini telah menolak permohonannya untuk membatalkan saman Shahrir.

Berdasarkan undang-undang

Dalam afidavitnya, Thomas berkata keputusan mahkamah minggu lalu agar Najib membela diri dalam kes salah guna kuasa dan pengubahan wang haram 1MDB berjumlah RM2.27 bilion membuktikan dia hanya menjalankan tugas berdasarkan undang-undang untuk meneruskan pendakwaan terhadap Najib.

“Saya hanya menjalankan tugas keperlembagaan sebagai AG/PP (peguam negara/pendakwa raya) di bawah Perkara 145(3) Perlembagaan Persekutuan dalam membuat pertuduhan jenayah, sama ada terhadap ahli Umno atau bukan.

"Ia sudah pasti bukan berdasarkan niat jahat atau untuk melemahkan Umno dan pemimpinnya, seperti yang didakwa oleh Shahrir," katanya.

Shahrir Samad

Pada mulanya, prosiding hari ini ditetapkan untuk mendegar permohonan Thomas di Mahkamah Tinggi agar Roz menarik dirinya. Namun ia telah ditangguhkan ke 9 Disember ini bagi membolehkan pasukan peguam Shahrir memfailkan respons terhadap afidavit baru Thomas.

Pada 4 Disember tahun lalu, Shahrir memfailkan saman terhadap Thomas, SPRM, bekas ketua pesuruhjaya SPRM Latheefa Koya dan kerajaan persekutuan.

Sementara itu, Shahrir dalam afidavitnya mempertahankan Roz agar terus mendengar saman itu, dan menyifatkan permohonan Thomas sebagai berniat jahat, remeh dan angkuh.

Dia mendakwa Roz selaku pesuruhjaya kehakiman tidak menunjukkan sikap berat sebelah memandangkan pendengaran samannya belum dimulakan.

[Baca berita asal]