Logo Malaysiakini

AG masih pertimbang representasi Sanusi mohon gugur kes hasutan

Peguam Negara (AG) masih mempertimbangkan permohonan Menteri Besar Kedah Muhammad Sanusi Md Nor untuk menarik balik kes hasutan terhadapnya.

Dua bulan lalu, Sanusi memohon maaf kepada Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah berkenaan ucapannya semasa kempen pilihan raya negeri Selangor di Selayang pada 11 Julai tahun lalu.

Semasa sebutan kes hari ini, pihak pendakwaan memaklumkan kepada Mahkamah Tinggi Shah Alam bahawa AG belum membuat keputusan sama ada menerima representasi Sanusi atau tidak.

Mahkamah jenayah kemudian menetapkan 10 Disember sebagai tarikh sebutan lanjut mengenai status permohonan tersebut.

Peguam Sanusi, Awang Armadajaya Awang Mahmud mengesahkan keputusan itu sambil menambah mahkamah mengarahkan perbicaraan penuh dijadualkan pada tahun 2027 sekiranya AG masih belum memutuskan representasi tersebut.

Sebelum permohonan maaf Sanusi pada bulan September, AG telah menolak representasi terdahulu yang dibuatnya berkenaan kes jenayah terbabit.

Pada 18 Julai tahun lalu, Sanusi didakwa di Mahkamah Sesyen Selayang atas dua pertuduhan hasutan yang berkaitan dengan ceramahnya tujuh hari sebelumnya.

Kedua-dua pertuduhan mendakwa dia mengeluarkan kata-kata yang berpotensi mencetuskan ketidaksetiaan terhadap raja.

Menurut pertuduhan pertama, Sanusi didakwa mengatakan kesultanan Kedah satu-satunya kesultanan di negara ini dengan keturunan yang tidak terputus dan Sultan Kedah tidak akan melantik Amirudin Shari sebagai menteri besar untuk mengetuai pentadbiran negeri tersebut.

Menurut pertuduhan kedua, Sanusi dikatakan mempertikaikan jika Yang di-Pertuan Agong benar-benar menitahkan agar kerajaan perpaduan dibentuk selepas pilihan raya parlimen pada November 2022.

Adun Jeneri itu didakwa melakukan kesalahan tersebut sekitar jam 11 malam di Taman Selayang Mutiara, Selangor, pada 11 Julai 2023. Pertuduhan tersebut difailkan di bawah Seksyen 4(1)(a) yang mengkriminalkan tindakan yang berunsur hasutan.

Sanusi boleh dihukum penjara sehingga tiga tahun, denda maksimum RM5,000 atau kedua-duanya bagi setiap kesalahan.

Kes tersebut kemudian dipindahkan ke Mahkamah Tinggi Shah Alam.

[Baca berita asal]