'Pindahkan tapak SJKT Serendah ke kawasan baru'
Penyelaras parlimen Hulu Selangor mencadangkan kerajaan mempertimbangkan pemindahan tapak pembinaan SJKT Ladang Minyak yang telah tertangguh selama 14 tahun ke kawasan baru.
Menurut Dr Sathia Prakash Nadarajan, tapak seluas dua ekar yang diperuntukkan pada 2012 itu kini tidak lagi sesuai untuk pembinaan sekolah berkenaan.
Dia turut mencadangkan agar kerajaan memperuntukkan tanah seluas lima ekar untuk memastikan sekolah tersebut dapat beroperasi di bawah penyeliaan penuh kerajaan atau diberi status sekolah jenis kebangsaan bantuan penuh.
"Saya tidak mahu isu sekolah ini dijadikan sekadar janji pilihan raya. Ramai pihak yang datang semasa pilihan raya membuat janji untuk membina sekolah, tetapi isu ini masih belum selesai.
"Oleh itu, sebagai penyelaras parlimen Hulu Selangor, saya akan membawa isu ini ke KPM (Kementerian Pendidikan Malaysia) untuk mencari satu penyelesaian menyeluruh," katanya kepada Malaysiakini.
Isu ini bermula apabila kerajaan sebelum ini menawarkan pembinaan SJKT Ladang Minyak di Bandar Serendah sebagai janji semasa PRK Hulu Selangor 2010.
Dua majlis pecah tanah diadakan pada 2012 dan 2015 yang dirasmikan oleh mantan Timbalan Menteri Pendidikan yang pernah berkhidmat sebagai Ahli Parlimen Hulu Selangor.
Pada 2019, Ahli Parlimen Hulu Selangor ketika itu, June Leow Hsiad Hui menyatakan UMW Corporation Sdn Bhd (UMW) telah bersetuju untuk memberikan 10 ekar tanah di Serendah kepada komuniti India sebagai tapak rumah kos rendah pekerja ladang dan tapak SJKT Ladang Minyak.
Pemberian itu melibatkan lapan ekar untuk tapak rumah kos rendah pekerja ladang dan baki dua ekar untuk tapak sekolah.
Namun, tanah ini telah dipindah milik kepada RV Global Sdn Bhd selaku pemegang taruh untuk menguruskan pembahagian tanah bagi pembinaan rumah pekerja ladang.
"Isunya, tanah untuk sekolah telah diberikan kepada syarikat swasta. KPM telah memperuntukkan RM6.65 juta.
"Majlis pecah tanah telah diadakan dua kali, tetapi sekolah tersebut masih belum dibina. Kini tapak tersebut tidak lagi sesuai kerana terdapat projek komersial termasuk pembinaan landasan ECRL berhampiran kawasan itu.
"Oleh itu, adalah wajar kerajaan mempertimbangkan penyelesaian alternatif untuk memastikan pembinaan sekolah ini dapat diteruskan di lokasi yang lebih sesuai mengambil kira keperluan dan permintaan semasa serta memenuhi keperluan komuniti," katanya.
Dia juga menyatakan telah mengenal pasti beberapa tapak baru yang mungkin sesuai untuk pembinaan sekolah berkenaan.
"Cadangan saya kepada KPM adalah agar sekolah dibina di atas lima ekar tanah supaya dapat memenuhi standard sekolah bantuan penuh dan keperluan penuh," katanya.
Untuk rekod di bawah dasar KPM, sekolah yang dibina di kawasan di bawah lima ekar biasanya diklasifikasikan sebagai sekolah bantuan penuh.
RM12.50 / bulan
- Akses tanpa had kepada kewartawanan yang memenangi anugerah
- Berikan komen dan kongsi pendapat anda tentang semua artikel kami
- Hadiahkan cerita-cerita menarik kepada rakan-rakan anda
- Potongan cukai