Logo Malaysiakini

Biar j’kuasa Parlimen siasat isu bonus RM210k pada CEO GLC, kata PAC

Pengerusi Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) Mas Ermieyati Samsudin mencadangkan agar Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen (JPKP) Kewangan Dan Ekonomi menyiasat dakwaan seorang eksekutif tertinggi Pelaburan Hartanah Berhad (PHB) yang mendapat bonus yang besar walau GLC itu tidak mencapai indeks prestasi utama (KPI). 

“Boleh juga JPKP Kewangan ambil kes ini dan buat prosiding mereka. Kita beri kepercayaan kepada mereka untuk buat siasatan,” katanya kepada Malaysiakini.

Mas Ermieyati mengulas laporan berkenaan CEO PHB yang menerima bonus sebanyak RM210,000 - bersamaan tiga bulan gaji - walaupun syarikat itu hanya mencapai 42 peratus daripada KPI-nya.

Syarikat itu juga didakwa merancang satu percutian mewah di luar negara untuk para pekerja, namun ia dibatalkan susulan kecaman ramai di media sosial.

Mas Ermieyati

Mengulas saranannya, Mas Ermieyati yang juga ahli Parlimen Masjid Tanah berkata selain prosiding sedia ada, ada banyak lagi kes yang menunggu bagi dinilai PAC untuk disiasat.

“(Bagi kes) yang ini, saya bangkitkan untuk badan kerajaan (yang berkaitan) untuk siasat dan ambil tindakan.

Saluran betul 

Mas Ermieyati juga menggesa kerajaan untuk menyediakan satu saluran bagi orang ramai menyuarakan kebimbangan jika ada keraguan berkaitan proses siasatan.

Membandingkan dengan kontroversi terbaru melibatkan pelaburan Permodalan Nasional Berhad (PNB) dalam FashionValet Sdn Bhd, dia menggesa pengurusan PHB untuk membuat penjelasan terbuka.

Setakat ini, PHB masih belum memberi maklum balas.

Semalam, SPRM menyerbu empat premis FashionValet di Kuala Lumpur sebagai sebahagian daripada siatan terhadap jenama fesyen tempatan itu.

Kerugian yang ditanggung Khazanah Nasional dan PNB selepas melabur sebanyak RM43.9 juta kini disiasat mengikut Seksyen 18 Akta SPRM.