Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 11 hari diterbitkan

Pensijilan halal antara potensi utama perdagangan Ukraine-M'sia

WAWANCARA | Di tengah konflik berterusan dengan Rusia, kerajaan Ukraine terus berusaha memulihkan perdagangan luar, termasuk rundingan dengan Malaysia dalam lawatan rasmi dua hari.

Bercakap kepada wartawan di Kuala Lumpur, Timbalan Menteri Ekonomi Ukraine, Taras Kachka, mendedahkan perbincangan rasmi yang bermula lima tahun lalu telah membawa kepada mesyuarat pertama Jawatankuasa Perdagangan Bersama semalam.

Kachka berkata mesyuarat itu melibatkan pelbagai agensi persekutuan Malaysia yang diketuai oleh Timbalan Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Liew Chin Tong, termasuk Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim).

Perluasan pasaran sedia ada bagi produk yang disahkan halal antara potensi kerjasama yang dibincangkan.

“Kami mempunyai pusat pensijilan halal di Ukraine dan semalam kami mengadakan perbincangan baik tentang hal ini.

“Kami melihat ada pemahaman bahawa pensijilan halal di Ukraine diiktiraf oleh pihak berkuasa Malaysia, dan ini adalah arah yang baik untuk kerjasama.

“Kami boleh membekalkan barangan yang menghormati dan mematuhi tuntutan serta tradisi agama di Malaysia,” kata Kachka, yang ditemani oleh diplomat Kedutaan Ukraine di Kuala Lumpur, Denys Mykhailiuk.

Mykhailiuk berkata terdapat satu pusat pensijilan halal yang diiktiraf Jakim di Kyiv, ibu negara Ukraine,dan rancangan sedang dijalankan untuk mengiktiraf sekurang-kurangnya dua lagi kemudahan pensijilan halal.

“Satu-satunya halangan bagi pihak Jakim adalah semasa waktu perang, mereka dilarang melawat Ukraine.

“Kami membincangkan isu ini semalam dalam mesyuarat utama jawatankuasa perdagangan bersama dan mesyuarat sub-komiti berikutnya.

“Kami berharap akan ada kebenaran daripada Kementerian Luar Malaysia dan Jakim sendiri untuk datang dan melawat (dua lagi pusat pensijilan halal),” kata Mykhailiuk yang menggambarkan kerjasama ini sebagai saling menguntungkan bagi kedua-dua negara.

Pada masa ini, Pusat Pensijilan LLC Ukraine tersenarai dalam lebih daripada 50 badan antarabangsa yang diiktiraf oleh Jakim dalam pensijilan halal.

Menurut Mykhailiuk, rakan dagang tradisional dan pasaran produk halal Ukraine termasuk negara-negara di Timur Tengah dan Afrika Utara.

“Bagi Malaysia, kerjasama ini juga penting kerana bagi setiap produk dari Ukraine yang disahkan halal, ia akan tertulis (pada produk) sebagai diiktiraf Malaysia, jadi ini pemasaran langsung.

“Pasaran produk halal dari Ukraine dianggarkan mencapai beberapa bilion dolar AS setahun dan lebih banyak pensijilan halal (yang dikeluarkan maka) lebih baik untuk Malaysia,” katanya.

Di Ukraine, Kachka berkata minoriti Muslim di negara itu terdiri daripada kira-kira dua juta orang, termasuk sekitar 500,000 orang Tartar etnik dari Crimea yang tanahnya diduduki oleh tentera Rusia.

Dia juga menggambarkan Kyiv sebagai ibu negara berbilang budaya di Ukraine dan pusat pelbagai agama sejak zaman dahulu.

Rakan dagang aktif

Sementara itu, Kachka berkata walaupun Ukraine dan Malaysia kini berada dalam peringkat kedua rakan dagang, terdapat penunjuk positif terkini yang mencatatkan perdagangan dua hala sekitar AS$300 juta — sekitar 90 peratus daripada angka sebelum perang pada 2021.

Dia berkata perkembangan positif itu sebahagiannya disebabkan pemulihan “navigasi biasa” di pelabuhan negara di sekitar Odesa — di pantai barat laut Laut Hitam — yang sebelum ini dikawal oleh tentera Rusia.

“Ukraine, seperti Malaysia, mengeksport majoriti produk kami melalui laut. Sebelum perang, eksport kami diangkut terus dari pelabuhan Ukraine.

“Apabila Rusia mula menyekat pelabuhan di Laut Hitam, termasuk tiga pelabuhan di Odesa, bagi kami ia satu kejutan dan kami mula mengubah haluan aliran perdagangan melalui negara jiran termasuk Romania,” jelasnya.

“Pada September 2023, hasil kejayaan tentera Ukraine, kami mula menghantar kapal terus tanpa persetujuan Rusia dengan sokongan keselamatan kami.

“Secara perlahan, kami berjaya mencapai jumlah eksport yang hampir sama dengan tahap sebelum perang.

“Rekod kami hampir 12 juta tan sebulan, sementara sebelum perang sekitar 14 juta tan sebulan,” kata Kachka, sambil menambah eksport Ukraine ke Malaysia termasuk minyak bunga matahari.

Dia berkata produk pertanian merupakan peratusan terbesar eksport Ukraine, seperti gandum dan jagung yang merupakan sebahagian besar dari rantaian bekalan makanan di banyak negara termasuk di Eropah, China dan Indonesia.

Dalam perbincangan dengan Malaysia, Kachka berkata kedua-dua kerajaan mengenal pasti sektor pertanian sebagai minat teras bersama — dalam bidang keselamatan makanan serta pembangunan mampan, termasuk dalam industri minyak sawit.

Dia berkata minat perdagangan dua hala lain termasuk sektor farmaseutikal, ekonomi digital dan industri aeroangkasa.

Sebelum ini dilaporkan perdagangan antara Malaysia dan Ukraine menunjukkan pertumbuhan yang memberangsangkan, mencerminkan hubungan ekonomi yang semakin kukuh antara kedua-dua negara, mencapai RM640.33 juta dari Januari hingga September 2024, peningkatan 151.2 peratus berbanding tempoh sama tahun lepas.

[Baca berita asal]