Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 14 hari diterbitkan

Polis soal siasat penganjur isu perarakan Guan Gong Johor Bahru

Penganjur Festival Kebudayaan Guan Gong Sedunia disoal siasat oleh polis sebagai sebahagian daripada siasatan terhadap perarakan yang menyaksikan beberapa peserta dilihat mengibarkan bendera China di Johor Bahru.

Soon Boon Hua, presiden Persatuan Kebudayaan Guan Gong, berkata dia memberikan keterangannya kepada polis di ibu pejabat polis daerah Timur Laut di Pulau Pinang lewat malam semalam.

Soon berkata dia telah memberikan polis maklumat terperinci mengenai kejadian itu.

"Kami bekerjasama dengan polis dan memberikan mereka maklumat yang mereka minta," katanya kepada Malaysiakini.

Polis menyiasat kes itu mengikut Seksyen 3(1) Akta Lambang Negara (Kawalan Pameran) 1949, Seksyen 505(b) Kanun Keseksaan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.

Sebelum ini, pemimpin PAS dan Perikatan Nasional (PN) mempersoalkan kehadiran bendera negara China semasa perarakan Festival Guan Gong di Teluk Intan dan Johor Bahru.

Perarakan di Johor Bahru dan Teluk Intan masing-masing diadakan pada 20 dan 24 Okt lepas.

Polis turut melancarkan siasatan berhubung perarakan Teluk Intan.

Adun DAP Ayer Keroh Kerk Chee Yee, yang menghadiri perarakan Johor Bahru, sebelum ini memberitahu Malaysiakini bahawa perarakan itu tidak melanggar mana-mana undang-undang.

“Pada majlis Johor Bahru yang saya hadiri, wakil asing mengibarkan bendera negara mereka termasuk China, Thailand, Vietnam, dan mungkin yang lain.

"Anda juga boleh melihat di media sosial saya bahawa bendera Malaysia dikibar pada majlis itu," kata Kerk.