Mampukah Anwar abaikan kubunya?
Penyokong tegar Pakatan Harapan (PH) tiada pilihan selain menyokong gabungan itu di sebalik kekecewaan mereka susulan tiada alternatif.
Perkara itu membolehkan Anwar melakukan satu persatu perkara yang tidak digemari penyokong.
Bagi pakar sains politik Wong Chin Huat, yang juga salah seorang pengasas kumpulan pemantau sistem pilihan raya Bersih, perkara itu adalah salah satu daripada dua salah tanggap mengenai sokongan “liberal dan minoriti”.
“Jika senario di atas betul, Anwar boleh buat apa saja untuk kekal berkuasa, termasuk tahanan rumah dan malah tahanan penuh dan DAA (dilepas dan dibebaskan) atau DNAA (dilepas tanpa dibebaskan) terhadap baki kes Najib Abdul Razak.
“Malangnya bagi kerajaan Madani, lebih banyak Anwar kelihatan seperti BN yang dulu dan Perikatan Nasional, yang menjauhkan golongan liberal/minoriti terhadap PH, makin kurang ketakutan mereka kepada Gelombang Hijau,” katanya kepada Malaysiakini.
Wong berkata, penyokong tidak akan mengundi PN tetapi sanggup meninggalkan PH dan kerajaan Madani, menjadi sinis dan tidak melibatkan diri dalam politik serta menggalakkan anak-anak mereka untuk tinggal atau berpindah ke luar negara, jika boleh.
“Pembela Anwar akan kata pada mereka, menghukum Madani seperti menghukum diri sendiri. Bagi sesetengah orang, mereka mungkin hanya mengangkat bahu dan menjawab seperti kekasih yang patah hati: So (jadi)?
“Dengan kata lain, jika mereka rasa keadaan cukup teruk, makan idea 'kejahatan yang lebih kecil' hilang makna,” tambahnya.
‘Jaring gol sendiri’
Wong menjangkakan jika cukup ramai pengundi PH memilih untuk tidak keluar mengundi pada pilihan raya umum akan datang, DAP mungkin hilang satu pertiga kerusi manakala PKR dan Amanah boleh berdepan masalah yang lebih rumit.
Katanya, perkara itu bukan saja boleh menyebabkan PH tidak mampu menerajui kerajaan pada masa depan dan menggagalkan Anwar menjadi perdana menteri sepenggal lagi, ia juga menimbulkan persoalan sama ada gabungan itu akan mendapat kerusi cukup untuk diundang menjadi sebahagian daripada pentadbiran.
Dalam konteks ini, Wong menyamakan tindakan Anwar membidas pengkritik dalam isu penerimaan baiknya terhadap permohonan maaf Najib dalam isu 1MDB dengan “jaringan gol sendiri”.
“Kebiasaannya pengundi tidak mengharapkan ahli politik bertindak sepenuhnya mengikut pendapat umum, tetapi mereka mengharapkan pemegang jawatan awam sekurang-kurangnya bertindak seolah-olah mereka mendengar,” tambahnya.
Wong juga membangkitkan salah tanggapan kedua bahawa DAP dapat mempengaruhi sebahagian besar penyokong ini, terutamanya orang Cina.
Katanya, pemimpin Umno seperti Nur Jazlan Mohamed menyalahkan DAP atas peratusan keluar mengundi orang Cina yang rendah dalam pilihan raya kecil Mahkota, Johor, sedangkan parti itu bertungkus-lumus berkempen untuk sekutunya.
“Tetapi hanya sikit orang Cina rasa mereka terhutang budi dengan DAP seperti ramai orang Melayu sebelum ini rasa terhadap Umno, apatah lagi kesetiaan kepada pemimpin politik mereka seperti penyokong PAS,” katanya.
Wong berkata pilihan raya kecil Sungai Bakap, Pulau Pinang dan Mahkota adalah contoh terdapat penurunan ketara dalam peratusan keluar mengundi orang Cina.
“Ini adalah tanda ketidakpuasan yang senyap terhadap kerajaan Madani tetapi undi mereka tidak beralih kepada PN,” tambahnya.
Dia bagaimanapun mengakui DAP juga mempunyai batasan sendiri yang tidak boleh diabaikan seperti janji menegakkan keadilan dalam isu 1MDB serta memperkukuh demokrasi melalui pembaharuan institusi.
Malah, kata Wong, pengundi juga ada ‘garis merah’ mereka sendiri.
“Melihat kepada respons pemimpin DAP terhadap permohonan maaf Najib, nampaknya DAP mengiktiraf garis merah yang dilukis oleh penyokong bagi mengawal mereka,” tambahnya.
Sementara ketika Anwar dilihat "bermurah hati” kerana dianggap sebagai “bapa negara”, setiausaha agung DAP Anthony Loke, bagaimanapun memilih bersikap tegas dengan menyifatkan permohonan maaf itu “tidak membawa sebarang makna”.
Ini bukan pertama kali Wong memberikan amaran ini.
Sebelum pilihan raya kecil Kuala Kubu Baharu di Selangor, Mei lalu, dia berkata kegagalan kerajaan bertindak terhadap tiga insiden serangan petrol di premis KK Mart, di tengah-tengah kempen boikot oleh ketua Pemuda Umno Muhammad Akmal Saleh, membuatkan Gelombang Hijau kelihatan kurang menakutkan
Bagaimanapun, ketika ramai pengundi Cina mempertimbangkan tidak keluar mengundi, ketua Pemuda PAS Ahmad Fadhli Shaari menekan butang ‘reset’ (set semula) apabila dia menumpukan perhatian pada latar belakang pendidikan vernakular calon DAP.
Begitu juga dengan Anwar, dia terus mematahkan hati dan membiarkan penyokong PH tertanya-tanya sama ada Akta Tahanan Rumah akan membolehkan Najib keluar penjara.
Tetapi kemudian muncul Pesuruhjaya PAS Perak Razman Zakaria mengingatkan mereka tentang kemungkinan negara yang lebih berpecah secara etnik, dengan menggunakan bangsa dan agama sebagai pemisah.
“Soalnya - berapa kali PAS akan datang menyelamatkan Anwar dan kerajaan Madani?” tanya Wong.
RM12.50 / bulan
- Akses tanpa had kepada kewartawanan yang memenangi anugerah
- Berikan komen dan kongsi pendapat anda tentang semua artikel kami
- Hadiahkan cerita-cerita menarik kepada rakan-rakan anda
- Potongan cukai