Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 15 hari diterbitkan

Loke: Tiada cadangan guna sistem Diat bagi kes kemalangan maut

PARLIMEN l Kerajaan tidak bercadang untuk mengguna pakai sistem pampasan atau Diat untuk kes kemalangan maut, kata Menteri Pengangkutan Anthony Loke.

Dalam jawapan bertulisnya kepada Mumtaz Md Nawi (PN-Tumpat), Loke berkata kementerian percaya bahawa undang-undang sedia ada Malaysia adalah adalah memadai untuk memberi keadilan dan sebagai mencegah jenayah.

Mumtaz Md Nawi (PN-Tumpat)

“MOT berpandangan bahawa hukuman yang diperuntukkan di bawah undang-undang sedia ada adalah memadai untuk memberi keadilan, bertindak sebagai penghalang, memberi peluang pemulihan kepada pesalah, dan juga menghormati hak asasi manusia.

“Antara tindakan undang-undang yang akan diambil terhadapindividu yang memandu secara melulu atau membahayakan sehingga menyebabkan kematian adalah seperti di dalam Seksyen 41, Akta 333 yang mana telah dipinda pada tahun 2020 yang menetapkan hukuman penjara selama tempoh tidak kurang daripada 5 tahun dan tidak lebih daripada 10 tahun dan denda tidak kurang daripada RM20,000 dan tidak lebih daripada RM50,000.

“Bagi sabitan kali kedua atau kali kemudian, penjara selama tempoh tidak kurang daripada 10 tahun dan tidak lebih daripada 15 tahun dan denda tidak kurang daripada RM50,000 dan tidak lebih daripada RM100,000,” katanya.

Menurut Loke, kementerian juga dari semasa ke semasa sentiasa melaksanakan kajian secara berterusan terhadap undang-undang yang berkaitan bagi memastikan ia sentiasa relevan dan memastikan aspek keselamatan bagi melindungi pengguna jalan raya.

Dalam soalannya, Mumtaz meminta Loke minta untuk menyatakan adakah kerajaan bercadang untuk mengkaji sistem Diat sebagai penyelesaian alternatif kepada hukuman kemalangan maut.

Diat adalah istilah Arab untuk denda atau pampasan yang harus dibayar kerana melukai atau membunuh orang.

Menurut Mumtaz, pilihan itu lebih mesra kepada keluarga si mati dan sekaligus memberi masa depan kepada pelaku dan keluarganya.