Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 16 hari diterbitkan

'Parlimen jadi aneh, songkok PM senget tak senget pun dibahaskan'

Perdana Menteri, Anwar Ibrahim menempelak pembangkang yang didakwa sebagai bankrap idea ketika berbahas di Dewan Rakyat.

Ketika mengulas mengenai usaha kerajaan membasmi kemiskinan tegar, Anwar berkata pembangkang hanya mengetengahkan isu bersifat picisan.

“(Soal) Perumahan dan miskin tegar, hal ini yang hari ini diberikan tumpuan. Tapi saudara tahu kalau di Parlimen perbahasan itu jadi aneh-aneh.

“Soal songkok perdana menteri, senget ke tak senget, yang jadi isu soal capal.

“Jadi maknanya ini orang kata bankrap idea, dia tidak ada modal untuk bahaskan,” katanya ketika berucap merasmikan Pelancaran Projek Residensi Madani di Putrajaya, hari ini.

Hadir sama Menteri Wilayah Persekutuan Dr Zaliha Mustaffa dan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Nga Kor Ming.

Dalam program itu Perdana Menteri mengumumkan projek membabitkan 4,000 unit Residensi Madani Putrajaya dijangka siap dibina menjelang tahun 2028.

Tujuh projek Residensi Madani itu terletak di Presint, 5, 7, 11, 16 dan 19 di Putrajaya iaitu Resdensi Madani Sentral, Serunai, Cemara, Cengkih, Cempaka, Mawar dan Melur.

‘Belum ada kerajaan jatuh sebab bantu rakyat’

Sementara itu Anwar turut menyentuh mengenai pendekatan berani diambil kerajaan dalam menaikkan gaji minimum walaupun ada pihak yang tidak senang dengan langkah itu.

Tegasnya perkara itu dilakukan dengan tekad politik yang jelas walaupun kerajaan berdepan cabaran.

“Saya tengok soal gaji penjawat awam, ada juga satu dua orang yang bercakap. Ini satu tindakan yang bersungguh-sungguh yang kita buat dengan berani. Gaji minimum RM1,700, kalau saya tanya syarikat-syarikat tak ada keputusan, mustahil ada keputusan (bersetuju).

“Kita bukan naikkan ke RM2,500, kita naik daripada RM1,500 ke RM1,700, iaitu ada beberapa peringkat bagi syarikat kecil masa lagi.

“Jadi saya harap bagilah kerjasama, sama-sama kita hadapi ini yang boleh kita lakukan dengan tekad politik yang jelas. Bukan semua akan setuju dan senang tetapi inilah cabaran pimpinan, apa kita berani ataupun tidak,” katanya.

Tambahnya belum pernah tercatat dalam sejarah mana-mana kerajaan kalah kerana bantu rakyat miskin dan menaikkan gaji yang sepatutnya.

“Belum tercatat dalam sejarah mana-mana kerajaan kalah atau jatuh kerana menaikkan gaji yang sepatutnya, upah yang adil.

“Kerajaan jatuh kerana rasuah, penyelewengan, tamak haloba pimpinan, kaut harta yang bukan hak mereka, kerana itu,” kata Anwar.