Johari pertahan keputusan larang Wan Fayhsal masuk Dewan Rakyat
PARLIMEN | Yang Dipertua Dewan Rakyat Johari Abdul mempertahankan keputusannya melarang Ahli Parlimen Machang Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal yang digantung daripada duduk di galeri awam.
Johari, yang mengeluarkan keputusannya di bawah Peraturan Mesyuarat 44(5), menjawab usul dari Takiyuddin Hassan (PN-Kota Bharu) pada akhir Waktu Pertanyaan hari ini.
"Ini keputusan saya. Sementara saya menjadi Yang Dipertua hari ini, mulai 15 Oktober 2024, mana-mana ahli yang diarah keluar atau diperintahkan mengikut Peraturan Mesyuarat, maksud keluar adalah dari Chamber (Dewan) ini.
"Beliau boleh ikuti dari luar tapi tidak boleh masuk dalam Chamber kerana ini akan menimbulkan banyak masalah.
"Jadi, saya buat keputusan tidak boleh (berada) dalam Chamber," katanya.
Sebelum itu, Takiyuddin bangkit untuk menyoal maklum balas Johari dalam surat bertarikh 15 Oktober kepada Wan Fayhsal mengenai penggantungan selama enam bulan bekas ketua Pemuda Bersatu itu, berkuat kuasa 18 Julai.
Takiyuddin berkata, dia pertama kali mengemukakan persoalan ini di hadapan Timbalan Speaker Ramli Mohd Nor pada 21 Oktober, tetapi diarahkan menunggu kepulangan Johari minggu ini.
"Beliau tidak duduk di tempat beliau (sebagai ahli parlimen), tetapi di Galeri Awam tempat orang kampung boleh datang dari ceruk mana sekalipun duduk sini.
"Tetapi speaker kata Machang (Wan Ahmad Fayhsal) tidak boleh duduk, sedangkan itu menunjukkan beliau ahli parlimen yang prihatin dan komited.
“Dan ada perkara berkaitan rakyat parlimennya, boleh minta untuk dimasukkan dalam (perbahasan) Ahli Dewan," kata ketua whip PN itu.
Kata Takiyuddin dia membuat gesaan bagi pihak pembangkang supaya Johari mengkaji semula arahan ini dan sekurang-kurangnya membenarkan Wan Fayhsal duduk di galeri awam.
Pada sidang media berasingan, Johari yang baru kembali dari lawatan rasmi ke parlimen Vietnam dan Laos minggu lalu, berkata Malaysia menunggu untuk menjadi tuan rumah bagi Persidangan Agung Antara-Parlimen Asean (AIPA) ke-45 pada September tahun depan.
Johari berkata lawatannya ke Vientiane, Laos bagi menerima resolusi AIPA yang telah diluluskan serta yang tertangguh sebagai pengerusi Asean yang baru.
“Saya akan berusaha untuk melawat parlimen semua negara anggota Asean sebelum Persidangan Agung AIPA ke-45 di Malaysia pada September tahun depan,” katanya.
RM12.50 / bulan
- Akses tanpa had kepada kewartawanan yang memenangi anugerah
- Berikan komen dan kongsi pendapat anda tentang semua artikel kami
- Hadiahkan cerita-cerita menarik kepada rakan-rakan anda
- Potongan cukai