Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 20 hari diterbitkan

Najib mohon maaf atas skandal 1MDB

Bekas perdana menteri Najib Razak memohon maaf secara terbuka atas skandal 1MDB.

Namun, dalam kenyataan yang dibaca anaknya Nizar, dia kekal menyatakan dia tidak bersalah dan meletakkan kesalahan kepada Jho Low dan eksekutif Petrosaudi.

“Setiap hari, saya berasa amat terluka mengetahui segala kecurangan dalam 1MDB berlaku semasa di bawah pengawasan saya sebagai perdana menteri dan menteri kewangan.

“Tiada lain yang dapat saya nyatakan selain memohon maaf secara terbuka kepada seluruh rakyat Malaysia,” menurut kenyataan Najib, yang dibaca Nizar di perkarangan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur, hari ini.

Nizar tidak mengambil sebarang soalan daripada wartawan dan terus meninggalkan kompleks mahkamah selepas membacakan kenyataan bapanya.

Najib kemudian menyebut artikel yang diterbitkan The Edge awal bulan ini, yang menunjukkan bagaimana Jho Low dan dua eksekutif Petrosaudi, Patrick Mahoney dan Tarek Obaid berpakat untuk menyelewengkan dana 1MDB.

Dia juga dilihat mengakui wang berjumlah AS$681 juta yang disalurkan ke akaunnya bukan daripada kerabat Arab Saudi.

Namun dia mendakwa tidak tahu berkenaan perkara itu.

Rumusan daripada artikel The Edge menyatakan Petrosaudi dan Jho Low bersubahat untuk memperdaya saya. Saya tak sedar Petrosaudi telah mengalihkan dana 1MDB dan saya langsung tidak mengetahui saya telah menerima wang daripada dana yang dihantar oleh 1MDB kepada Petrosaudi.

“Walaupun sukar untuk sesetengah pihak memahami, saya telah dinasihati dan dengan jujur percaya pada masa itu dana yang saya terima adalah sumbangan politik dari Arab Saudi,” katanya.

Patrick Mahoney, Jho Low dan Tarek Obaid

Bagaimanapun artikel The Edge yang disebut Najib tidak menyatakan dia tidak bersalah sepenuhnya, seperti didakwa.

Artikel itu ada menyatakan Najib tidak sedar penyelewengan yang berlaku dalam 1MDB, tapi sekurang-kurangnya hanya sehingga 2010, dan berkenaan penyelewengan AS$1.5 bilion daripada bon yang diterbitkan pada 2009.

Artikel itu tidak menyimpulkan jika Najib kekal tidak tahu tentang apa yang berlaku selepas itu.

Transaksi AS681 juta ke akaun Najib berlaku pada 2013 dan penyiasat memiliki bukti yang AS$620 juta yang dipulangkan Najib masuk ke akaun yang dikawal Jho Low.

Najib berkata dia masih “terkejut dengan mendalam” apabila kini mengetahui tentang kepincangan, perbuatan tak bermoral dan pelanggaran undang-undang dalam 1MDB.

Namun dia berkata dia tidak sepatutnya dipertanggungjawabkan secara undang-undang atas skandal itu.

“Namun dipertanggungjawabkan secara undang-undang untuk perkara yang saya tidak mulakan atau mengetahui secara sedar adalah tidak adil kepada saya.

“Saya berharap serta berdoa agar proses keadilan akan memihak kepada saya dan membuktikan saya tidak bersalah,” katanya lagi.

Najib kini sedang menjalani hukuman penjara di Penjara Kajang selepas disabit bersalah dalam kes rasuah SRC International berjumlah RM42 juta.

Dia pada mulanya dihukum penjara 12 tahun dan denda RM210 juta.

Namun Lembaga Pengampunan kemudian mengurangkan hukumannya kepada enam tahun penjara dan denda RM50 juta.

Selain kes SRC International, Najib juga masih berdepan pertuduhan di mahkamah berkaitan kes 1MDB.

Kes-kes tersebut adalah kes rasuah 1MDB berjumlah RM2.28 bilion, kes pecah amanah jenayah berkaitan International Petroleum Investment Company berjumlah RM6.6 bilion, kes pindaan laporan audit 1MDB dan kes pengubahan wang haram melibatkan RM27 juta dana SRC International.