MP Bangi cadang dana pendidikan RM100 juta buat pelajar India
Syahredzan Johan (Pakatan Harapan-Bangi) mencadangkan penubuhan dana pendidikan baru khusus untuk pelajar India yang memasuki universiti, dengan peruntukan tahunan RM100 juta.
Ketika membahaskan Rang Undang-Undang Perbekalan 2025, Syahredzan berkata terdapat banyak bantuan kewangan masyarakat India, contohnya subsidi RM2,000 untuk mahasiswa ditawarkan di bawah Unit Transformasi India Malaysia (Mitra).
“Tetapi ini terlalu sedikit, untuk membeli laptop yang baik pun tidak cukup.
“Di bawah (cadangan) pemberian Dana Pendidikan Masyarakat India ini, mahasiswa India dari keluarga berpendapatan rendah akan diberikan RM20,000 one-off bagi membantu membiayai pendidikan mereka.
“Saya cadangkan dana RM100 juta diperuntukkan, supaya ia boleh dimanfaatkan oleh 5,000 anak Malaysia setiap tahun,” katanya.
Syahredzan berkata jumlah sekali bayar yang lebih besar boleh membantu lebih ramai pelajar India daripada keluarga berpendapatan rendah untuk melanjutkan pelajaran ke peringkat lebih tinggi.
“Saya ingin tekankan di sini bahawa membantu masyarakat India tidak bermakna kita abaikan kaum Melayu dan bumiputera, serta kaum-kaum lain.
“Cuma, kita harus akui bahawa masyarakat India selalunya terpinggir dan mereka dengan izin, disproportionately disadvantaged dari pelbagai aspek termasuk pendidikan, pekerjaan dan sebagainya,” katanya.
Perdana Menteri Anwar Ibrahim dalam ucapan Belanjawan 2025 telah mengumumkan RM130 juta untuk masyarakat India, jumlah yang sama seperti yang diperuntukkan sebelum ini untuk tahun ini.
Daripada Perikatan Nasional, ketua penerangan Parti Rakyat India Malaysia (MIPP) Suthan Mookiah bagaimanapun membezakan jumlah peruntukan RM600 juta untuk membaik pulih bangunan Sultan Abdul Samad dan Carcosa Seri Negara.
RM12.50 / bulan
- Akses tanpa had kepada kewartawanan yang memenangi anugerah
- Berikan komen dan kongsi pendapat anda tentang semua artikel kami
- Hadiahkan cerita-cerita menarik kepada rakan-rakan anda
- Potongan cukai