Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 20 hari diterbitkan

Isu adendum Najib disentuh Takiyuddin bikin Dewan Rakyat 'panas'

PARLIMEN | Tindakan Takiyuddin Hassan (PN-Kota Bharu) membangkitkan isu adendum berkaitan Najib Razak mencetuskan suasana kecoh apabila dibantah RSN Rayer (PH- Jelutong) yang bangun menyatakan peraturan mesyuarat.

Bercakap pada sesi perbahasan Belanjawan 2025, Takiyuddin berkata dia ingin membangkitkan isu pengampunan bekas perdana menteri yang didengar Yang di-Pertuan Agong ke-16.

"Beliau (Najib) telah diberikan pengurangan tempoh penjara dan dendanya sama ada ia pengampunan ataupun lega hukum.

"Tetapi dalam kes ini timbul (persoalan) apabila orang nombor dua (Timbalan Perdana Menteri, Ahmad Zahid Hamidi) dalam negara ini telah membuat satu afidivit untuk menyokong permohonan pemimpin tersebut.

"Satu afidivit mengatakan bahawa dia (Ahmad Zahid) melihat dan ditunjukkan oleh seorang pemimpin parti - yang kebetulan seorang menteri - bahawa pada masa proses pengampunan itu, Yang di-Pertuan Agong telah memasukkan satu adendum iaitu orang ini diberikan tahanan rumah," kata Takiyuddin.

Rayer kemudian bangkit untuk menyanggah Ketua Whip PN itu dengan menjelaskan, sebagai seorang peguam, dia sepatutnya tidak mempersoalkan tindakan Agong dalam membuat keputusan tersebut.

"Apabila seseorang ahli dewan membahaskan rang undang-undang tidak boleh membangkitkan Peruntukan 36 (8) iaitu kelakuan atau sifat Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong," kata Rayer.

Takiyuddin bagaimanapun menafikan kenyataannya itu menyalahi peruntukan tersebut.

Sebaliknya, kata Takiyuddin, dia hanya meminta mahu kesahihan berkaitan kewujudan adendum berkenaan.

Keadaan bertukar lebih kecoh apabila ahli parlimen dari kedua-dua belah berbalas hujah dan mengeruhkan lagi keadaan walaupun Speaker Dewan Rakyat, Alice Lau, mematikan mikrofon mereka.

"Ahli-ahli yang berhomat, saya tidak membenarkan Kota Bharu untuk sebut keputusan atau kelakuan Yang di-Pertuan Agong.

"Saya rasa apa nak dibahaskan oleh Kota Bharu sudah disebut tadi, saya rasa tak perlu kita teruskan lagi.

"Harap apa-apa yang disebut kalau nak minta penjelasan, boleh minta menteri yang jawab nanti," katanya yang turut menamatkan perbahasan Takiyuddin kerana sudah kehabisan waktu.