Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 25 hari diterbitkan

Belanjawan 2025: Peruntukan RM9.3b untuk tambah baik kemudahan awam

Peruntukan pembangunan tertinggi melebihi RM9.3 bilion yang diterima Kementerian Kerja Raya menerusi Belanjawan 2025 akan digunakan untuk menambah baik kemudahan awam, terutamanya bagi penyelenggaraan jalan raya.

Timbalan Menteri Kerja Raya Ahmad Maslan berkata daripada jumlah peruntukan tersebut, sebanyak RM2.8 bilion akan disediakan untuk menyelenggara Jalan Persekutuan dan RM1 bilion untuk membaiki jalan sekunder, jalan Felda, jalan industri dan jalan yang rosak akibat banjir.  

"Manakala RM5.5 bilion pula akan diperuntukkan kepada kerajaan negeri untuk dana Marris (Sistem Maklumat Rekod Jalan Raya) yang akan digunakan antaranya untuk pembersihan jalan, longkang, saliran air, dan bahu jalan,” katanya kepada Bernama selepas menghadiri program Ruang Bicara terbitan Bernama TV pada Jumaat. 

Selebihnya akan diperuntukkan bagi pembangunan kemudahan seperti pembinaan jambatan sementara Bailey kepada negeri yang terjejas akibat banjir, pemasangan lampu jalan baru, serta projek-projek segera untuk kepentingan rakyat, katanya. 

Mengenai peruntukan sebanyak RM1.3 bilion untuk memperkasa kontraktor G1 hingga G4 khususnya Bumiputera bagi memberi peluang kepada mereka melaksanakan projek kecil dan sederhana, Ahmad menyifatkannya sebagai satu langkah yang baik kerana ia boleh menjana ekonomi setempat.

“Sebenarnya projek kecil contohnya buat dewan, buat balai raya, buat surau, buat masjid, baiki jalan, itu penting untuk kontraktor G1-G4 kerana boleh memberi pekerjaan kepada rakyat setempat dan pada masa sama boleh menjana ekonomi dengan pelbagai impak,” katanya. 

Sementara itu, mengulas mengenai projek pelebaran Lebuhraya Utara Selatan (Plus) daripada empat kepada enam lorong Fasa 3 dari Simpang Renggam ke Machap, Ahmad berkata ia merupakan satu perkara baik yang dinanti-nantikan oleh rakyat Johor. 

“Kita minta sampai ke Yong Peng Utara tetapi kerajaan (kelihatannya) tiap-tiap tahun akan mengumumkan secara berfasa. 

“Mula dari Senai Utara sampai ke Sedenak, itu pada Belanjawan 2023. Belanjawan 2024 pula dari Sedenak ke Simpang Renggam, selepas itu 2025 dari Simpang Renggam ke Machap,” katanya.

-Bernama