Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah sebulan diterbitkan

Wanita OKU naik kapcai kembara Sarawak, Sabah

Keadaan diri yang kelainan upaya bukanlah penghalang buat Fazlin Fauzi, 42 tahun dari Kulim, Kedah untuk mengembara ke Sarawak dan Sabah dengan menunggang motosikal kapcai.

Fazlin, anak kedua daripada lima adik-beradik itu sudah pun menjelajah secara solo ke 38 daerah Sarawak.

“Kalau kita fikirkan kekangan, masalah, OKU atau tidak, mampu atau tidak, sampai bila pun kita takkan mampu buat apa-apa.

“Setiap orang ada kelebihan dan kekurangan masing-masing. Kita yang buat keputusan untuk mencorak lukisan kita.

“Jadi jangan tunggu, terus manfaatkan setiap kelebihan yang ada, kesihatan, kekuatan dan keberanian yang ALLAH bagi," katanya kepada Malaysiakini.

Menurut Fazlin, restu ibu dan bapanya terhadap niatnya mengembara menambah keyakinan dan memberi kekuatan emosi dan fizikal kepadanya.

“Ia adalah sesuatu yang wajar dicontohi, sebagai salah satu cara untuk membuatkan seseorang individu OKU untuk lebih yakin berada di dunia luar.

“Ini kerana terdapat segelintir ibu bapa yang mempunyai anak OKU, terlalu mengawal anak mereka sehingga mereka terkongkong, emosi dan kebebasan mereka tidak diberikan secara hak.

Kata Fazlin yang amat meminati angka dua ini, tahun ini istimewa untuk dirinya kerana bakal mencecah 42 tahun, yang kebetulan merupakan keterbalikan angka tahun 20(24).

“Jadi, saya ingin membuat sesuatu yang istimewa untuk dirinya,” katanya.

Singgah ke Brunei

Fazlin memulakan perjalanan pada 12 September 2024 dari Teluk Melano ke Lundu, Bau, Kuching, Samarahan, Asajaya dan Lawas dan dia berjaya melewati ke 38 daerah di Sarawak dalam tempoh 33 hari.

“Laluan pengembaraan ke seluruh daerah di Sarawak secara tidak langsung menjadikan dia berkesempatan untuk turut ke Brunei. Ini kerana, untuk masuk ke Limbang dan Lawas, Brunei merupakan laluan wajib,” katanya.

Maka dia tidak hanya sekadar melintas, sebaliknya memanfaatkan peluang tersebut untuk menjelajah Brunei juga.

“Alhamdulillah ada rezeki dapat masuk ke Temajuk, Indonesia juga,” kata Fazlin.

Fazlin ketika ditanya kenapa dia mengembara bersendirian, berkata dia tidak mahu terlalu berharap kepada orang lain untuk mencapai impiannya itu.

Dia sedar bahawa agak sukar untuk mengajak seseorang menemaninya dalam kembara tersebut kerana selain kembara yang memakan tempoh yang panjang, masing-masing mempunyai komitmen terhadap kerjaya dan keluarga masing-masing.

Jangan takut, jangan berani sangat.

“Daripada kita kecewa orang tolak, baik kita jalan terus. Kalau kita mengembara secara solo, kita boleh berhenti dekat tempat kita suka, kita ada waktu, aktiviti kita sendiri untuk buat apa sahaja,” katanya.

Fazlin berkata perbelanjaan kos mengembara ditanggungnya sendiri hasil duit simpanannya.

Menurutnya, mengembara secara solo memberi pengalaman baru baginya dan dia dapat kenalan baru sepanjang perjalanan.

“Orang-orang di sana sangat mengalu-alukan saya di sana. Mereka tidak lokek dalam berkongsi maklumat tentang Sejarah, atau sesuatu perkara, dan berkongsi rezeki juga,” katanya.

“Konsep saya semasa mengembara ini kita jangan takut sampai menjadi penakut dan berani jangan berani sangat.

“Kita perlu sentiasa berwaspada di tempat-tempat baru yang kita tidak pernah melancong sebelum ini," kata Fazlin penuh semangat meneruskan perjalanannya ke Negeri Di Bawah Bayu.