Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah sebulan diterbitkan

Memo UKM bocor: Arahan gugat kebebasan akademik - bekas menteri

Seorang bekas menteri mengkritik keras memo bocor dari Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), berkata kandungannya melemahkan prinsip teras kebebasan akademik.

Ahli Parlimen PN bagi Indera Mahkota, Saifuddin Abdullah menegaskan ahli akademik berperanan sebagai suara hati masyarakat dan tindakan universiti, seperti yang tercermin dalam memo tersebut, gagal menegakkan peranan penting ini.

"Kebebasan akademik itu roh sesebuah universiti, kebebasan untuk berfikir, mengajar, menyelidik, menerbitkan dan berkongsi, termasuk dengan orang awam. Itulah sebabnya kita ada istilah 'intelektual awam'. Ahli akademik juga berfungsi sebagai suara hati masyarakat.

"Surat pekeliling ini tidak menghormati ciri-ciri ini. Ini tidak baik untuk universiti dan kecemerlangan akademik yang memiliki jiwa," katanya kepada Malaysiakini.

Saifuddin yang juga ketua biro pendidikan PN berkata dia bimbang mengenai kesan memo ini terhadap kebebasan intelektual dan wacana akademik.

Pemimpin Bersatu itu juga pernah menjadi timbalan menteri pengajian tinggi dari tahun 2008 hingga 2013, ketika itu dia menuntut kebebasan akademik yang lebih besar.

Ketika era pentadbiran Muhyiddin Yassin dia berkhidmat sebagai menteri komunikasi dan multimedia manakala menjadi menteri luar negeri di bawah Ismail Sabri Yaakob.

Memo bocor bertarikh 8 Oktober itu dikongsi oleh bekas menteri pendidikan Maszlee Malik semalam.

Dalam memo tersebut, UKM melarang ahli akademik membuat kenyataan awam, termasuk di media sosial, melainkan mereka mendapat kebenaran universiti terlebih dahulu.

Memo itu memberi amaran pelanggaran boleh mengakibatkan tindakan disiplin, dengan menguatkuasakan peraturan di bawah Akta Badan Berkanun (Tatatertib dan Surcaj) 2000 (Akta 605).

Saifuddin menekankan roh sebenar universiti itu budaya ilmu dan kebebasan untuk berfikir, mengajar, menyelidik dan berinteraksi dengan masyarakat.

"Sebuah universiti bukan hanya tentang bangunan dan infrastruktur. Ia mengenai budaya ilmu dan intensiti interaksi dalam kalangan ahlinya, terutamanya akademik."

Kata Saifuddin dia berharap memo berkenaan bukan satu lagi cubaan oleh kerajaan untuk menutup kelemahan mereka.

"Saya berharap ini bukan satu lagi langkah untuk menekan kebebasan bersuara dan berusaha keras menutup kelemahan mereka," katanya.

Memo tersebut turut merujuk kepada Ketua Setiausaha Kerajaan, Shamsul Azri Abu Bakar, yang merujuk arahan daripada mesyuarat pengurusan Jabatan Perdana Menteri 2024.

Memo itu menggariskan larangan terhadap semua penjawat awam, termasuk mereka dari badan berkanun, daripada membuat kenyataan awam yang boleh dilihat sebagai menjejaskan dasar, rancangan, atau keputusan kerajaan.

Sebagai respons kepada kebocoran ini, Saifuddin mendedahkan dia telah menghubungi Menteri Pengajian Tinggi Zambry Abdul Kadir, seorang bekas ahli akademik, meminta dia menangani isu tersebut.

"Saya harap beliau akan menangani isu ini dengan sewajarnya. Beliau seorang bekas ahli akademik. Saya percaya beliau memahami kebimbangan saya," tambahnya.

[Baca berita asal]