MM2H: Beri maklumat jika ada syarikat tak berdaftar jadi ejen, kata Tiong
PARLIMEN | Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya Tiong King Sing meminta Mas Ermieyati Samsudin (PN-Masjid Tanah) untuk memberikan nama pihak yang didakwa menjadi dalang atau ejen dalam program Malaysia Rumah Keduaku (MM2H).
Ia selepas Mas Ermieyati mendakwa ada syarikat yang berdaftar di bawah program itu yang melantik syarikat lain sebagai “master agent” dalam melaksanakan program berkenaan.
“Mastermind (dalang) atau ejen MM2H memang tidak ada. Kalau ada, tolong beri saya maklumat (dan nyatakan) mana satu (yang terlibat).
“Saya tak ingat jumlah keseluruhan ejen di bawah kita sekarang sebab baru balik dari lawatan luar negara. Saya akan jawab secara bertulis nanti,” kata Tiong semasa Waktu Pertanyaan Menteri di Dewan Rakyat, hari ini.
Program MM2H diperkenal pada 2002 yang membolehkan warga asing membeli hartanah dan tinggal di Malaysia untuk tempoh lama.
Namun program itu dibekukan sementara pada Ogos 2020 bagi membolehkan Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (Motac) dan Kementerian Dalam Negeri untuk membuat kajian dan penilaian semula secara menyeluruh.
Program itu disambung semula pada Oktober 2021 dengan permohonan baru dikendalikan Jabatan Imigresen.
Mengulas lanjut, Tiong berkata Motac telah memulakan siasatan bagi bagi mengenal pasti syarikat yang menjadi ejen MM2H yang bertanggungjawab menyebarkan maklumat salah berhubung program berkenaan.
Katanya, ia selepas kementerian mendapat pelbagai aduan daripada pemohon, antaranya berhubung dakwaan yang permohonan tidak akan diterima memandangkan program itu masih belum dilaksanakan.
“Dakwaan-dakwaan yang dibuat (tentang MM2H) memang macam-macam ada, sebab ada ejen yang memberi lesen mereka kepada pihak lain. Kita sudah siasat dan pejabat mereka pun tak ada.
“Inilah masalah (yang dihadapi kini) dan ramai tak puas hati. Kita akan jawab (semua dakwaan) dan akan memantau semuanya,” katanya lagi.
RM12.50 / bulan
- Akses tanpa had kepada kewartawanan yang memenangi anugerah
- Berikan komen dan kongsi pendapat anda tentang semua artikel kami
- Hadiahkan cerita-cerita menarik kepada rakan-rakan anda
- Potongan cukai