Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah sebulan diterbitkan

Murid selamatkan ribuan kasut putih yang tak terjual

Sejak pelajar sekolah dibenar memakai kasut hitam empat tahun lalu, sambutan terhadap kasut putih mulai pudar.

Stok makin menimbun dan malah ada yang mulai rosak dan menjadi kekuningan.

Bagaimanapun, terdapat acara lain untuk menyelamatkannya, malah menjadikan nilainya lebih tinggi yang lebih dikenali sebagai upcycling.

Dalam acara di Sekolah Kebangsaan (SK) Taman Sri Sinar, Segambut, Kuala Lumpur semalam, seramai 2,800 pelajar daripada 14 sekolah terlibat menyelamatkan kasut-kasut lama itu.

Dalam program itu, sebanyak RM28,000 diperuntukkan untuk membeli pewarna kasut , alat tulis dan barang-barang hiasan hasil sumbangan Menteri Belia dan Sukan Hannah Yeoh yang juga anggota parlimen setempat.

Hannah yang hadir sama dalam program itu memuji program anjuran Yayasan Mr DIY dan juga kelab perkasa wanita Soroptimist Damansara (SID) itu kerana ia mengajar kanak-kanak supaya tidak suka membazir.

“Hari ini anak-anak telah diberikan peluang untuk menghias dan membuat cantik kasut putih sekolah,” katanya yang juga ibu kepada dua orang anak itu.

Dia juga berkata kegiatan itu menunjukkan bahawa aliran seni di Malaysia masih diperlukan walaupun selama ini banyak penekanan diberi kepada aliran Sains.

Katanya, amalan upclycling di luar negara sudah menjadi perkara biasa dan dia patut dicontohi di Malaysia.

“Jangan membazir. Jadikan ia sesuatu yang indah,” kata wakil rakyat DAP itu kepada Malaysiakini.

Sementara itu, guru penyelaras program SK Taman Sri Sinar, Nuraisyah Rosdi, 28, berkata murid terlibat dari kalangan tahun empat hingga tahun enam dan Program Pendidikan khas integrasi (PPKI).

“Tadi murid-murid sangat aktif, teruja sebab mereka tidak pernah menghias pada kasut,” kata guru bahasa Inggeris dan Sains itu.

Katanya, lima orang daripada setiap sekolah dipilih sebagai pemenang.

Menariknya, terdapat pelajar PPKI atau orang kurang upaya (OKU) tampil sebagai pemenang.