Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah sebulan diterbitkan

‘Kedutaan AS biadab enggan terima memo bantahan rakyat Malaysia’

Adun Seri Serdang, Abbas Salimi Che Adzmi@Azmi mendakwa kedutaan Amerika Syarikat (AS) di Kuala Lumpur kurang ajar apabila enggan menerima memorandum bantahan daripada rakyat Malaysia berhubung kekejaman di Gaza, Palestin.

Abbas Salimi berkata, kedutaan AS patut sedar bahawa mereka berada di bumi Malaysia dan sewajarnya menerima memorandum bantahan yang ingin diserahkan perserta himpunan taufan al-Aqsa, setahun memperingati kekejaman Israel di Gaza.

"Saya menekankan tentang kebiadaban kedutaan AS yang enggan menerima memorandum daripada kita.

"Kedutaan AS berada di Malaysia, namun kurang ajar tak mahu terima memorandum daripada rakyat Malaysia.

"Itu yang saya tekankan, tentang kebiadaban AS," katanya selepas dirakam keterangan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Wangsa Maju, Kuala Lumpur, hari ini.

Wakil rakyat Amanah itu dipanggil untuk dirakam keterangan berhubung himpunan yang berlangsung di hadapan ibu pejabat Lembaga Tabung Haji (TH) Jumaat lalu.

Himpunan yang dihadiri ratusan orang ramai itu turut disertai Presiden Amanah, Mohamad Sabu serta Presiden Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang) Mukhriz Mahathir.

Selain Abbas Salimi, Mukhriz juga turut dipanggil polis Jumaat lalu untuk dirakam keterangan.

Mengulas lanjut, Abbas Salimi menyifatkan kedutaan AS sebagai pengecut apabila enggan keluar menerima memorandum.

"Kami hanya mahu menghantar memorandum lima, enam helai sahaja yang mengandungi suara rakyat Malaysia tentang kekejaman yang berlaku kepada keluarga kita di Palestin.

"Tetapi kenapa mereka tidak mahu membenarkan kami masuk? Saya sendiri melihat salah seorang pegawai Kedutaan AS pada hari kejadian.

"Dia melihat kami berada dalam kawasan mereka tetapi dia tidak berani keluar sedangkan saya telah mengajaknya keluar secara baik,” katanya lagi.