Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah sebulan diterbitkan

Ringgit naik berbanding dolar AS dalam dagangan awal

Ringgit dibuka tinggi berbanding dolar AS hari ini berikutan data inflasi Amerika Syarikat (AS) yang lebih tinggi daripada jangkaan.

Pada 8.04 pagi, mata wang tempatan mengukuh kepada 4.2820/2920 berbanding dolar AS daripada 4.2910/2940 semalam.

Inflasi keseluruhan AS mencatatkan 2.4 peratus tahun ke tahun pada September berbanding anggaran konsensus sebanyak 2.3 peratus. Begitu juga, inflasi teras meningkat 3.3 peratus pada September berbanding anggaran konsensus sebanyak 3.2 peratus.

Ketua Ahli Ekonomi Bank Muamalat Malaysia Bhd Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashid berkata sentimen pasaran kini berhati-hati berikutan ketidakpastian mengenai kadar penurunan kadar faedah AS atau penangguhan terhadap keputusan tersebut.

Dalam pada itu, katanya harga minyak mentah Brent kekal tinggi berikutan konflik ketenteraan antara Israel-Hezbollah/Iran yang boleh menjadi lebih besar.

“Sehubungan itu, kami percaya peniaga akan cenderung mencari perlindungan dalam mata wang selamat, terutamanya dolar AS berdasarkan ketidaktentuan yang meningkat,” katanya.

Sementara itu, ringgit turut diniagakan tinggi berbanding mata wang utama.

Ia tinggi berbanding euro kepada 4.6815/6924 daripada 4.6918/6951 semalam, naik berbanding yen Jepun kepada 2.8788/8858 daripada 2.8820/8842 dan meningkat berbanding pound kepada 5.5923/6054 daripada 5.6122/6161.

Mata wang tempatan bercampur-campur berbanding mata wang ASEAN.

Ia merosot berbanding baht Thailand kepada 12.7978/8353 daripada 12.7724/7866 semalam, bagaimanapun naik berbanding dolar Singapura kepada 3.2785/2864 daripada 3.2811/2836.

Ringgit meningkat kepada 7.47/7.49 berbanding peso Filipina daripada 7.48/7.50 semalam dan tinggi berbanding rupiah Indonesia kepada 273.1/273.8 daripada 273.6/274.0 sebelum ini.

- Bernama