Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah sebulan diterbitkan

Siapa lapar dan tiada duit, datang saja ambil resit

Sejak beberapa tahun kebelakangan, semakin banyak restoran dan kedai makan yang mengambil inisiatif untuk membantu golongan yang kurang berkemampuan, dengan menyediakan makanan yang sudah dibayar untuk dinikmati mereka.

Salah satu daripadanya adalah Choon Guan Hainan Coffee yang terletak di Pandamaran, Selangor.

Pemilik restoran itu, David Kan Yew Weng berkata masyarakat setempat yang tidak berkemampuan boleh datang ke restorannya dan memilih mana-mana hidangan yang sudah dibayar oleh pelanggan sebelumnya.

Menurutnya, mereka hanya perlu mengambil mana-mana resit yang dipamerkan dan menyerahkannya kepada pekerja di kaunter. 

“Mereka hanya perlu mendapatkan resit dan menjamu selera,” kata David ketika dihubungi Malaysiakini.

David Kan Yew Weng

Mengimbas kembali, David berkata dia terpanggil untuk melakukan usaha itu selepas melihat ibunya sering memberi makanan kepada orang yang memerlukan satu ketika dahulu.

Ketika itu, katanya, restoran itu diuruskan oleh ibunya yang mengambil alih daripada datuknya yang juga pengasas Choon Guan Hainan Coffee.

“Dulu, Pandamaran hanya sebuah kampung dan hampir setiap hari ada orang datang ke kedai untuk meminta makanan dan minuman. 

“Ibu saya akan beri makanan yang ada seperti roti, nasi atau kuih kepada mereka,” katanya.

Mulakan sendiri

Menceritakan cabaran yang dihadapi, David berkata pada mulanya tiada pelanggan yang sanggup membayar makanan untuk orang lain sehinggakan dia dan para pekerjanya terpaksa melakukannya sendiri.

Langkah itu menjadi permulaan yang baik apabila pelanggan lain turut terpanggil untuk menyokong usaha mereka, katanya.

“Hari ini, sudah banyak makanan yang dibayar terlebih dahulu sehingga kami memerlukan lebih ramai orang untuk datang menuntutnya,” katanya lagi.

Antara pelanggan yang sering berkunjung ke Choon Guan Hainan Coffee adalah Mazrina Yasir yang memuji usaha yang dilakukan David.

Dia turut memuji restoran itu yang menurutnya menyediakan makanan yang sedap dan perkhidmatan yang mesra pelanggan.

“Harganya memang murah. Kalau pergi satu keluarga, belanja RM50 pun kita sudah puas makan,” kata wanita berusia 35 tahun dari Puchong itu, ketika dihubungi.

Mengulas lanjut, David berkata harapannya - sama seperti ibunya - adalah untuk membantu mereka yang sedang berdepan kesusahan.

Dia juga berharap jika mereka berjaya keluar daripada kesusahan hidup, mereka juga akan membantu golongan yang ditimpa nasib yang serupa.

David berkata dia akan meneruskan inisiatif itu walaupun ada segelintir pihak yang meremehkan usaha sebuah perniagaan kecil seperti mereka.

“Choon Guan Hainan Coffee akan berada untuk mengisi perut anda dan bersama anda menempuhi kesukaran yang dihadapi,” katanya lagi.