Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah sebulan diterbitkan

Hampir semua 114 lokasi 'hotspot' di Kedah banjir - APM

Hampir kesemua 114 lokasi ‘hospot’ banjir di Kedah dinaiki air dalam kejadian bencana itu yang melanda negeri ini sejak Sabtu lepas.

Timbalan Pengarah Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Kedah Mejar (PA) Muhammad Suhaimi Mohd Zain berkata lokasi itu melibatkan daerah Baling, Sik, Padang Terap, Kubang Pasu, Langkawi, Kota Setar, Pendang, Yan, Kuala Muda, Kulim dan Bandar Baharu.

“Sebanyak 21 pusat pemindahan sementara (PPS) telah diaktifkan di lima daerah di Kubang Pasu, Kota Setar, Pokok Sena, Baling dan Pendang.

“Terdapat lapan sungai di negeri ini melebihi paras bahaya dan yang paling kritikal sekarang adalah Sungai Anak Bukit di Taman Aman, Kota Setar sehingga menyebabkan air melimpah ke jalan raya,” katanya selepas melakukan pemantauan di Kampung Seberang Anak Bukit dan Kampung Alor Madi di Alor Setar hari ini.

Muhammad Suhaimi berkata punca air naik mendadak di beberapa kawasan itu disebabkan oleh taburan hujan yang sangat tinggi.

Beliau berkata hujan lebat di hulu Sungai Padang Terap juga menyebabkan daerah Kubang Pasu dan Kota Setar dilanda banjir.

“APM Kedah bersedia segala kemungkinan termasuk air pasang yang dijangka pada 18 hingga 20 Okt ini.

“Kita telah maklumkan kepada ibu pejabat sekiranya keadaan semakin buruk di Kedah, kita akan mohon bantuan dari APM negeri lain,” katanya.

Muhammad Suhaimi berkata terdapat segelintir penduduk terjejas banjir enggan berpindah ke PPS, bimbang keselamatan harta benda yang ditinggalkan di rumah selain beranggapan banjir akan surut dalam tempoh singkat.

Seorang mangsa banjir dari Kampung Alor Ganu Zakaria Darus, 68, berkata kejadian ini merupakan kali ketiga rumahnya dinaiki air dalam tempoh tidak sampai sebulan.

“Banjir tidak surut kerana air dari kawasan hulu turun ke hilir, sebab itu paras air makin naik walaupun hujan tidak lebat. Kami bukan tidak mahu pindah ke PPS tetapi bimbang untuk tinggalkan rumah kerana takut ada yang ambil kesempatan,” katanya.

- Bernama