ULASAN | Pembodohan dan fitnah terbesar PAS
Sekali ini, kekeliruan yang dibawakan PAS konon “Malaysia negara sekular” perlu ditamatkan. Apa yang dijejerkan terutamanya oleh presiden PAS, Abdul Hadi Awang selama puluhan tahun tidak lebih merupakan pembodohan dan fitnah terbesar kepada Malaysia.
Sayugia, fitnah tersebut telah meninggalkan dua kesan buruk kepada kehidupan warganegara, yakni; (1) perpecahan dahsyat yang tiada hujungnya sesama Muslim, dan; (2) syak wasangka di antara yang bukan Muslim terhadap Muslim dan Islam—dan sebaliknya. Lebih malang, klemak-klemek PAS itu telah menyebabkan Muslim terpandu ke arah yang keliru dan serba palsu, dan di atas kekeliruan serta kepalsuan itu pula, Muslim menjadi lemah-lesu.
Tidak ada alasan lain mengapa PAS meneruskan tuduhan bahawa Malaysia adalah negara sekular, kerana dengannya, PAS-lah yang paling beruntung. Semakin ramai Muslim yang sedar bahawa Malaysia ini negara beragama (theological state), maka PAS pasti akan rugi. Tapak sokongan yang dicipta daripada pembodohan itu, bisa runtuh.
Pantas sahaja PAS menyasarkan sokongan di kalangan orang tololan; yang tergelapkan fikirannya. Hal ini pernah disebutkan terang-terangan oleh Abdul Hadi dalam rapat muktamar parti pada September 2022. Katanya, undi pemakbul kemenangan PAS bakal ditentukan oleh “kalangan umat Islam sendiri yang jahil agama dan lebih jahil lagi dalam aspek politik.”
Di mana-mana pun di dunia, sejarah politik esktrem memang begitu, dan seakan gejala sama juga dalam isu GISB bebaru ini. Kalau dalam beragama ada sesat akidah; dalam aktiviti lain juga ada yang sesat ilmu, sesat hidup, dan sesat politik.
Walhasil sudah jelas dalam Perkara 3 (1) Perlembagaan Malaysia, meski dinyatakan hak-hak agama lain untuk diamalkan, tapi dicatat terlebih dahulu bahawa Islam merupakan “agama bagi Persekutuan.” Hujah ini walau jarang untuk ditandu, namun di situ sahaja membuktikan mainan PAS yang menuduh Malaysia merupakan negara sekular, ternyata puyang, tidak relevan dan ranap sama sekali.
Perlembagaan merupakan tiang seri hukum bagi sesebuah negara moden. Kalau Islam mendapat jaminan sebegitu jelas di sana, apa lagi yang sebenarnya yang hendak dituntut PAS?
Badan-badan rasmi yang terkait agama juga mendapat hak pembiayaan oleh pemerintah. Majlis-majlis agama negeri, mufti, mahkamah syariah, Jakim sehinggalah imam dan bilal yang berelaun atau bergaji itu merupakan manifestasi jaminan Perlembagaan terhadap Islam.
Kalau Malaysia jadi sekular totok sepertimana mata pandang Abdul Hadi, pemerintah adalah terlarang mendirikan apa-apa pun institusi agama—jauh sekali membiayainya dengan dana cukai. Begitulah keadaan di Amerika Syarikat, semua badan yang terkait dengan agama apa pun, wajib mandiri dan dipisahkan daripada negara. Di negara majoriti Kristian, gereja-gereja pun tidak berhak mendapat sepeser wang daripada pemerintah. Itulah makna negara sekular yang tidak difahami oleh Abdul Hadi.
Ketika Pancasila hendak dirumus
Debat negara teologi (beragama) adalah debat panjang, namun boleh dianggap beres selepas era penjajahan. Misalnya di Indonesia sekitar tahun 1944-45, ramai juga alim-ulama yang bimbang kalau-kalau Soekarno menjadikan Indonesia merdeka sebagai negara tidak beragama atau sekular. Selain dicontohkan dengan negara-negara Utara seperti Rusia, China, Eropah atau Barat; turut dibimbangkan Indonesia mengikuti jejak Turkiye acuan Mustafa Kemal Ataturk. Parti seperti Masyumi dan Nahdatul Ulama (NU) melalui debat tegang tentang persoalan ini.
Ia terlihat ketika Pancasila hendak dirumus—dengan Pancasila merupakan kesedaran alam fikiran dan budaya bangsa. Tanpa memahami sejarah Nusantara, mustahil falsafah Pancasila dapat digubah dan diperturunkan dengan ringkas dalam hanya lima perkara.
Sila satu, yakni “Ketuhanan Yang Maha Esa” bukan sekedar dimasukkan, tapi dijadikan yang tertinggi, termustahak. Di situlah pemimpin Masyumi seperti Mohammad Natsir atau pemuka Kristian seperti Arnold Mononutu menyambutnya dengan syukur sekali.
Ucapan sukacita keduanya dapat kita baca dalam biografi “Mohammad Natsir: Kepribadian, Pemikiran dan Perjuangan” tulisan Lukman Hakiem, yang terbit pada 2019. Dalam satu pidato menanggapi Mononutu, sekali Nastir berkata:
“Dengan demikian akan terdapatlah kiranya kenyataan bahawa baik golongan saudara Mononutu (Kristian) maupun golongan kami (Islam) mendapat persesuaian dalam satu hal essentieel, yakni sama-sama menolak paham sekularisme sebagai falsafah negara.”
Selain Natsir, Muhammad Hatta juga menyambutnya dengan baik. Bagi Hatta, selain teras politik, kesedaran sila satu merupakan teras moral yang mampu memimpin cita-cita kenegaraan. Sementara begitu jugalah halnya di Malaysia, yang juga selalu dikais ketepi oleh Abdul Hadi apabila Rukun Negara diperkenalkan pada 1970.
Perkara pertama yang diangkat ialah “Kepercayaan Kepada Tuhan.” Ia dengan cepat menggambarkan bahawa masyarakat di negara ini, sejak sekian lama tetap menjadikan iman sebagai teras kehidupan; termasuklah dalam soal pentadbiran dan pengurusan negara. Seperti juga Indonesia, dengan terpaterinya gamblang “Ketuhanan Yang Maha Esa” atau “Kepercayaan Kepada Tuhan” itu, ia meruntuhkan sama sekali tuduhan bahawa Indonesia atau Malaysia adalah negara totok sekular—sepertimana selalunya planga-plongo kelompok ekstrem dan radikal.
Apakala Abdul Hadi dan PAS berdekad-dekad meneruskan kempen buruk kepada negara sendiri, wajar kita merasakan mereka entah-entah ada niat lain. Akhir-akhirnya seakan dapat tertangkap dan terduga, jangan-jangan mereka mahu mengubah asas kenegaraan ini sama ada yang bersangkutan dengan Perlembagaan mahupun Rukun Negara.
Dalam tulisannya 28 September lalu, Abdul Hadi menegaskan Islam yang diperjuangan PAS ialah yang berprinsipkan akidah. Perkara berkenaan bukanlah pula pertikaian kerana memang asas Islam menyentuh soal akidah. Namun, beliau menyatakan dalam aspek politik, matlamat perjuangan PAS ialah “bertujuan menegakkan sebuah negara Islam yang mengangkat Islam menjadi kuasa tertinggi di Malaysia.”
Kuasa tertinggi
Di sini persoalan timbul. Apakah Islam tidak cukup diangkat pada tempatnya dengan jaminan Perlembagaan, Rukun Negara serta Raja-raja Melayu yang menjadi “kuasa tertinggi,” yang memayungi kepentingan Islam selama ini?
Kalaulah konsep Raja Berpelembagaan yang menjadi dasar berkerajaan hendak ditolak, pilihan yang wujud di beberapa negara Muslim lain ialah konsep negara kemulahan. Memang ada beza antara ke-raja-an dengan ke-mulah-an kerana; yang pertama, Islam diletakkan bawah kuasa raja/sultan, dan; satu lagi, Islam diletakkan di bawah Mulah atau “spiritual leader.”
Contoh negara berkemulahan ialah Iran atau Afghanistan. Akibat Abdul Hadi selalu mempertikai asas kenegaraan—meski tidak menyebutkannya dengan jelas kerana mungkin berasa takut—tapi tiada yang lain boleh ditanggapi, melainkan beliau memang berniat untuk mengubah asas kenegaraan Malaysia daripada negara berkerajaan menjadi negara berkemulahan. Makanya, mengapa payah benar untuk dijelaskan sampai berputar-matar menuduh Malaysia konon sebagai negara sekular-sekular-sekular?
Selain wajib jujur, Abdul Hadi juga perlu ingat bahawa perubahan yang didambakan itu memerlukan kerja revolusi yang bukan kepalang tanggung. Usahlah kerana jadi penakut, maka hanya berani memfitnah bangsa dan negara Malaysia terus-menerus—sekular, liberal, plural, sosialis, pragmatis, dajjal dan entah apa-apa lagi.
Seperti ungkapan Kartini, “habis gelap terbitlah terang”; PAS juga perlu tahu, nanti habis pembodohan mereka, timbullah pemberontakan—tsunami penolakan atas sebab akibat PAS yang menunggang agama, namun tidak mahu bertanggungjawab apa-apa. Ingat, bangsa ini mustahil dapat dibodohi atau dikacungkan selama-lamanya. Cukup sampai di sini sahaja.
HASMI HASHIM atau Budi Hekayat seorang penulis lirik dan otai komuniti Jalan Telawi.
Artikel ini pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pendirian sidang redaksi Malaysiakini.
RM12.50 / bulan
- Akses tanpa had kepada kewartawanan yang memenangi anugerah
- Berikan komen dan kongsi pendapat anda tentang semua artikel kami
- Hadiahkan cerita-cerita menarik kepada rakan-rakan anda
- Potongan cukai